BH Online
Ringkasan Berita

Kes ceroboh kawasan larangan Kementerian Pertahanan: AGC tolak representasi 2 warga China

KUALA LUMPUR: Dua warga China yang didakwa menceroboh kawasan larangan di Kementerian Pertahanan, akan dibicarakan selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi mereka.
Kes ceroboh kawasan larangan Kementerian Pertahanan: AGC tolak representasi 2 warga China

KUALA LUMPUR: Dua warga China yang didakwa menceroboh kawasan larangan di Kementerian Pertahanan, akan dibicarakan selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi mereka.

Peguam bela, Ooi Hong Ming yang mewakili jurugambar, Li Luorong, 28, serta Chen Junhao, 21, berkata Timbalan Pendakwa Raya, Nor Aisyah Mohamed Zanyuin, memaklumkan perkara itu kepada Hakim Mahkamah Sesyen, Suhaila Haron, pada prosiding baru-baru ini.

"Pihak pendakwaan telah memohon tarikh pengurusan kes yang lain bagi memastikan semuanya teratur sebelum kes itu dibicarakan.

"Pengurusan kes yang seterusnya ditetapkan pada Khamis ini," katanya.

Kedua-dua tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin selepas mereka didakwa pada tahun lalu.

Mengikut pertuduhan pertama, Luorong dan Junhao didakwa secara bersama menerbangkan sebuah dron DJI Mavic 3 Enterprise untuk membuat rakaman dari udara di kawasan larangan yang diwartakan, tanpa kebenaran dengan niat mendapatkan maklumat rasmi bagi maksud memudaratkan keselamatan negara.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan Padang Bola B, Kementerian Pertahanan di Jalan Padang Tembak kira-kira jam 11.50 pagi 6 Ogos tahun lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikuti Seksyen 3(a) Akta Rahsia Rasmi 1972 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, kedua-dua tertuduh didakwa menggunakan dron sama untuk membuat rakaman dari udara dengan maksud melakukan kerja ukur atau pemeruman tanpa kebenaran pihak berkuasa pada lokasi, tarikh dan masa yang sama.

Pendakwaan itu dikemukakan mengikut Seksyen 4(1) Akta Rahsia Rasmi 1972 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara minimum setahun dan maksimum 14 tahun.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Senior Asisten Komisioner Mohammad Lazim Ismail, dilaporkan berkata polis menahan dua lelaki warga China disyaki menceroboh kawasan larangan di Wisma Pertahanan, di sini, 6 Ogos lalu.

Mohammad Lazim dipetik berkata, kedua-dua suspek ditahan anggota rondaan polis tentera (MP) ketika menerbangkan dron di kawasan padang bola berhampiran wisma berkenaan.

Beliau berkata, hasil soal siasat mendapati kedua-duanya mendakwa rakaman dron itu dibuat atas arahan majikan, namun mereka tidak mengetahui tujuan sebenar.

Video Terkini

Berita Berkaitan