BH Online
Ringkasan Berita

Remaja dipercayai mabuk pandu kereta rempuh Amirul Hafiz hingga mati, didakwa esok

KLANG: Remaja lelaki yang direman berhubung insiden memandu dipercayai dalam keadaan mabuk dan di bawah pengaruh dadah hingga menyebabkan kematian di Jalan Raya Barat di sini, akan didakwa esok.
Remaja dipercayai mabuk pandu kereta rempuh Amirul Hafiz hingga mati, didakwa esok

Detik Amirul Hafiz menunggang motosikal sebelum dirempuh kereta dipandu seorang remaja lelaki yang disyaki bawah pengaruh alkohol di Jalan Raya Barat, Klang pagi Ahad lalu. - Foto ihsan pembaca

KLANG: Remaja lelaki yang direman berhubung insiden memandu dipercayai dalam keadaan mabuk dan di bawah pengaruh dadah hingga menyebabkan kematian di Jalan Raya Barat di sini, akan didakwa esok.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey mengesahkan perkara ini dalam satu pesanan ringkas kepada media malam ini.

Remaja itu dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Klang pada jam 8.30 pagi untuk menghadapi pertuduhan berkaitan insiden tersebut.

Suspek, yang diuji positif alkohol dan dadah, ditahan di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.

Dalam kejadian jam 11.40 pagi Ahad lalu, seorang penunggang motosikal berusia 30-an maut serta-merta selepas dirempuh kereta dipandu suspek, yang didakwa dipandu laju ke arah bandar Klang.

Pemandu itu dipercayai memotong beberapa kenderaan sebelum memasuki lorong bertentangan dan melanggar motosikal ditunggang mangsa, Amirul Hafiz Omar.

Perlanggaran itu menyebabkan mangsa melambung dan tercampak ke atas sebuah Perodua Myvi serta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Amirul Hafiz yang bekerja di sebuah gudang pada sebelah siang, dikatakan melakukan kerja tambahan dengan menjadi penghantar barang pada waktu malam.

Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Repoh di Larut, Perak, dan meninggalkan isteri, Nor Nadia Abdul Majid, 32, serta tiga anak, Muhammad Aqif Amsyar, 9; Muhammad Afif Izz Rayqal, 7; dan Nur Humaira, 2.

Video Terkini

Berita Berkaitan