BH Online
Ringkasan Berita

Pengendali rumah kebajikan haram didakwa 2 tuduhan lakukan seks luar tabii terhadap remaja lelaki 15 tahun

KUALA LUMPUR: Pengendali sebuah rumah kebajikan kanak-kanak tanpa lesen di Gombak dihadapkan ke mahkamah buat kali ketiga hari ini, bagi menghadapi dua pertuduhan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap seorang remaja lelaki berusia 15 tahun, tiga tahun lalu.
Pengendali rumah kebajikan haram  didakwa 2 tuduhan lakukan seks luar tabii terhadap remaja lelaki 15 tahun

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Pengendali sebuah rumah kebajikan kanak-kanak tanpa lesen di Gombak dihadapkan ke mahkamah buat kali ketiga hari ini, bagi menghadapi dua pertuduhan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap seorang remaja lelaki berusia 15 tahun, tiga tahun lalu.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan 11 pertuduhan dihadapi S Valan, 31, dengan empat pertuduhan di Mahkamah Sesyen Ampang sebelum ini membabitkan kesalahan seksual secara fizikal dan bukan fizikal.

Pada prosiding hari ini, Valan yang berada di kandang tertuduh dengan memakai kemeja-T putih, membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Suhaila Haron.

"Saya faham pertuduhan dan mengaku tidak bersalah," katanya sambil diperhatikan isteri dan ibu bapanya dari galeri awam.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, dia didakwa melakukan kesalahan itu terhadap remaja berkenaan antara jam 11 malam hingga jam 2 pagi pada 2 Januari 2023, serta pada jam 2 petang pada 22 November 2023 di sebuah bilik tidur unit kondominium di Segambut.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 377B dan Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum hingga 20 tahun dan sebatan; serta penjara antara lima hingga 20 tahun dan sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya, Md Subri Hashim, tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh kerana kesalahan ini tidak boleh dijamin.

"Namun, jika mahkamah membenarkan jaminan, ia wajar ditetapkan RM20,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.

"Tertuduh juga perlu menyerahkan pasport, tidak mengganggu saksi dan melaporkan diri ke balai polis setiap bulan sehingga kes selesai.

"Mahkamah perlu mengambil kira mangsa adalah bawah umur ketika kejadian yang diamanahkan kepada tertuduh," katanya.

Bagaimanapun, peguam Nur Amalia Md Daud yang mewakili tertuduh memohon jaminan munasabah dengan alasan anak guamnya tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.

"Ibunya, seorang suri rumah, hadir di mahkamah dan bersedia menjadi penjamin jika dibenarkan. Tertuduh sudah berkahwin, ada seorang anak berusia tiga tahun dan tinggal bersama keluarga di Sentul. Dia tiada risiko melarikan diri.

"Dia juga tidak mempunyai akses kepada mangsa atau rumah kebajikan itu. Jika ada kebimbangan gangguan terhadap saksi, mahkamah boleh mengenakan syarat tambahan," katanya.

Beliau berkata, Mahkamah Sesyen Ampang dan Selayang sebelum ini membenarkan jaminan, dengan pasport tertuduh ditahan.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Suhaila membenarkan jaminan RM18,000 dengan seorang penjamin bagi dua pertuduhan itu dan menetapkan 8 Jun untuk sebutan semula kes.

Mahkamah turut mengarahkan tertuduh tidak mengganggu saksi pendakwaan dan melaporkan diri ke balai polis setiap bulan sehingga kes selesai.

Peguam Kirthen Subramaniam dan Nishanthi Loganathan hadir sebagai pemerhati bagi pihak keluarga mangsa serta Pertubuhan Kebangkitan Tiga Tangan Selangor yang mendedahkan dakwaan penderaan berlarutan hampir sedekad di rumah kebajikan tanpa lesen itu.

Dua bekas penghuni berusia 18 tahun tampil membuat laporan mengenai penderaan itu.

Pada bulan lalu, penjaga rumah kebajikan itu, Retna Velu, 25, mengaku bersalah atas 15 pertuduhan serangan seksual dan persetubuhan luar tabii membabitkan lima kanak-kanak lelaki, termasuk mangsa paling muda berusia lapan tahun.

Mahkamah Sesyen Ampang dijadual menjatuhkan hukuman terhadap Retna pada 21 Mei ini.

New Straits Times sebelum ini melaporkan sekurang-kurangnya 12 daripada 36 penghuni rumah kebajikan itu menjadi mangsa penderaan selepas pemeriksaan perubatan mendapati kecederaan lama dan baharu yang selari dengan dakwaan penderaan seksual terhadap beberapa kanak-kanak lelaki.

Susulan itu, polis menahan dan mereman empat suspek termasuk pemilik rumah kebajikan berusia 31 tahun serta tiga lagi pekerja berumur antara 17 hingga 25 tahun.

Siasatan awal mendapati rumah kebajikan itu tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebaliknya beroperasi di bawah sebuah syarikat swasta.

Video Terkini

Berita Berkaitan