KUALA LUMPUR: Kes Hydroshoppe Sdn Bhd serta pengarahnya didakwa menawarkan rasuah kepada Tan Sri Annuar Musa berkait pengambilalihan konsesi Menara Kuala Lumpur, akan didengar di Mahkamah Tinggi.
Ia susulan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Noor Ruwena Md Nurdin, membenarkan permohonan Hydroshoppe dan Pengarahnya, Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh, untuk memindahkan kes itu dari Mahkamah Sesyen.
Noor Ruwena berkata, selepas meneliti hujahan serta afidavit difailkan, adalah terlalu awal untuk menyimpulkan bahawa kes itu membabitkan double jeopardy kerana tertuduh dan syarikat berkenaan dituduh bawah dua peruntukan undang-undang berbeza walaupun berpunca daripada set fakta yang sama.
"Bagaimanapun, mahkamah mendapati ada merit dalam isu kesukaran luar biasa yang dibangkitkan oleh pemohon. Hanya atas alasan ini, permohonan itu dibenarkan.
"Kesukaran dibayangkan oleh pemohon dalam membina pembelaannya, mewajarkan kes itu dipindahkan dan didengar oleh Mahkamah Tinggi," katanya.
Hakim itu berkata, memandangkan fakta kes dan saksi pendakwaan berkemungkinan sama, adalah tidak wajar untuk perbicaraan terbabit diteruskan satu demi satu.
Justeru, Noor Ruwena berkata, beliau menggunakan bidang kuasanya bawah Kanun Tatacara Jenayah demi kepentingan keadilan, untuk kedua-dua kes terbabit didengar bersama.
Abdul Hamid Shaikh diwakili peguam, Joshua Tay dan Tang Jia Yearn, manakala pendakwaan diketuai oleh Dr Iffa Sirrhu Samsudin.
Mahkamah Tinggi akan menetapkan tarikh untuk pengurusan kes pada peringkat seterusnya.
Kes itu kemudian disebut di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Suzana Hussin, di mana Abdul Hamid Shaikh dituduh pada asalnya.
Suzana dimaklumkan mengenai keputusan Mahkamah Tinggi itu sebelum beliau membatalkan semua tarikh perbicaraan yang dijadualkan sebelum ini.
Pada 2023, Abdul Hamid Shaikh memohon dibicarakan atas pertuduhan menawarkan rasuah RM500,000 setahun selama 15 tahun kepada Datuk Tan Ser Lay, 60, bagi faedah Annuar yang merupakan Menteri Komunikasi dan Multimedia ketika itu, di ibu pejabat kementerian berkenaan antara Julai hingga Ogos 2022.
Wang itu didakwa ditawarkan sebagai dorongan untuk meluluskan pengambilalihan Menarik Kuala Lumpur oleh syarikat Abdul Hamid Shaikh.
Pada hari sama, Hydroshoppe didakwa atas kesalahan sama dan membabitkan individu sama.
Abdul Hamid Shaikh yang hadir mewakili syarikat itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan terbabit.
Pada 2024, Mahkamah Sesyen menolak permohonan Hydroshoppe untuk dilepas tanpa dibebaskan atau penangguhan sementara perbicaraan sementara menunggu pelupusan pertuduhan rasuah serupa yang dihadapi oleh Abdul Hamid Shaikh.
























