KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menamakan Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebagai Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam Syed Muhammad Naquib al-Attas (SMNA ISTAC), bukan hanya mewujudkan sudut khas atau dewan untuk memperingati sumbangan Prof Diraja Terpuji Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas.
Pengasas Pusat Kajian Tinggi Islam Sains dan Peradaban Raja Zarith Sofiah (RZS CASIS), Prof Dr Wan Mohd Nor Wan Daud, berkata lebih penting lagi, status asal, visi dan misi serta kurikulum ISTAC yang dimansuhkan sejak 2002 wajar dikembalikan kerana ia masih kekal relevan.
"Al-Attas melaksanakan peranan penting sebagai pengasas dan pengarah ISTAC dari 1987 hingga 2002, termasuk dalam merangka matlamat dan objektif institusi, kurikulum, pemilihan tenaga akademik dan pelajar serta pembangunan perpustakaan perbandingan pelbagai bahasa yang kini berjumlah kira-kira 150,000 naskhah.
"Saya menyaksikan sendiri usaha menyeluruh beliau dalam pembangunan ISTAC, termasuk mereka bentuk kampus di Jalan Damansara dan Persiaran Tuanku Syed Sirajuddin, Bukit Tunku, merangkumi bangunan, masjid, kediaman kakitangan, perabot serta landskap dengan visi bersepadu berasaskan falsafah dan tamadun Islam," katanya dalam hantaran di media sosialnya.
Wan Mohd Nor berkata, penamaan semula ISTAC sebagai SMNA ISTAC mempunyai duluan, iaitu penamaan semula Kulliyyah Undang-Undang UIAM kepada Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim (AIKOL).
"Langkah menamakan sekadar sudut atau dewan sempena tokoh berkenaan tidak memadai serta tidak setimpal dengan sumbangan besar Allahyarham kepada institusi itu," katanya.
Al-Attas meninggal dunia, Ahad lalu dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, keesokan harinya.
Allahyarham yang terkenal dengan sumbangannya dalam bidang falsafah, teologi dan tamadun Islam menerima gelaran Profesor Diraja Terpuji pada 23 Oktober 2024 sebagai pengiktirafan terhadap jasa dan sumbangan besarnya kepada pembangunan ilmu serta pendidikan Islam.
Beliau ialah pengasas serta pengarah ISTAC dan pernah dilantik sebagai Profesor Pelawat Terhormat di RZS CASIS, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada 2012
Antara karya pentingnya ialah Prolegomena to the Metaphysic of Islam, Islam and Secularism dan Risalah Untuk Kaum Muslimin, manakala buku mutakhirnya, On Justice and the Nature of Man serta Islam: The Covenants Fulfilled.
























