SHAH ALAM: Yayasan Kubra hari ini berjaya dalam permohonannya di Mahkamah Tinggi untuk mengetepikan perintah awal dikeluarkan Mahkamah Majistret Selayang.
Sebelum ini, mahkamah rendah memutuskan supaya satu siasatan dijalankan berhubung aduan mengenai sebuah kuil yang tidak dikawal selia di Rawang, selepas meneliti isu pertikaian tanah dan kemungkinan berlaku gangguan ketenteraman awam.
Pesuruhjaya Kehakiman, Suriyati Hasimah Mohd Hashim membuat keputusan itu hari ini selepas mendengar hujahan peguam Muhammad Hariz Md Yusoff yang mewakili yayasan sebagai pemohon, manakala peguam Rajesh Nagarajan mewakili Persatuan Penganut Sri Uchimalai Muniswaraman sebagai responden.
"Mahkamah membenarkan permohonan pemohon dan dengan itu, keputusan Mahkamah Majistret Selayang diketepikan.
"Jika mana-mana pihak tidak berpuas hati, sila failkan rayuan dan mahkamah akan menyediakan alasan penghakiman," katanya.
Pada 13 Mac lalu, Majistret Chai Guan Hock mengarahkan kedua-dua pihak terbabit dalam pertikaian itu hadir ke mahkamah bagi satu siasatan mengikut Seksyen 99(4) Kanun Tatacara Jenayah.
Beliau turut meminta mereka mengemukakan kenyataan bertulis mengenai pemilikan sebenar tanah yang dipertikaikan.
Selepas prosiding, Muhammad Hariz berkata, keputusan hari ini bermakna siasatan dijadualkan berlangsung pada Mei di Mahkamah Majistret tidak akan diteruskan.
"Perancangan untuk meneruskan pembinaan rumah asnaf yang lama tertangguh akan diteruskan.
"Sebagai pemilik tanah, kami tidak sepatutnya dibebankan dengan kos guaman hanya untuk mendapatkan perintah pengusiran terhadap penceroboh. Tanggungjawab itu tidak seharusnya diletakkan kepada kami," katanya.
Beliau berkata, jika mana-mana pihak ingin meneruskan tuntutan, ia sepatutnya dilakukan melalui mahkamah sivil.
Sementara itu, Rajesh berkata, pihaknya menerima keputusan mahkamah itu dan diarahkan untuk memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan hari ini.
Beliau berkata, kebanyakan struktur kuil sudah dirobohkan, namun masih terdapat beberapa bahagian asas yang kekal.
"Memandangkan rayuan sudah difailkan, perkara itu masih di bawah bidang kuasa mahkamah.
"Jika rayuan ditolak, kami akan mematuhi perintah mahkamah dan mengalihkan baki struktur dengan segera," katanya.






















