KLANG: Suspek kes kemalangan maut membabitkan pemanduan di bawah pengaruh alkohol di Jalan Raya Barat hadir di mahkamah di sini hari ini untuk menghadapi pertuduhan berhubung kejadian itu.
Lelaki berusia lingkungan 20-an itu dibawa dari Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan dengan kawalan ketat oleh anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik.
Dalam keadaan bergari, dia tiba di kompleks mahkamah dan dijangka didakwa di hadapan Majistret A Karthiyayini.
Suspek dibawa ke mahkamah sehari sebelum tempoh reman empat hari tamat.
Lelaki itu yang didapati positif alkohol dan dadah, ditahan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh bahan terlarang.
Kesalahan itu memperuntukkan hukuman maksimum penjara sehingga 15 tahun, denda sehingga RM100,000 serta hilang kelayakan memandu sekurang-kurangnya 10 tahun.
Kejadian jam 11.40 pagi Ahad lalu apabila seorang penunggang motosikal berusia lingkungan 30-an maut di tempat kejadian selepas dirempuh kereta dipandu suspek yang dipercayai bergerak laju di laluan bertentangan menuju ke arah bandar Klang dari Jalan Raya Barat.
Pemandu itu dipercayai memotong beberapa kenderaan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan motosikal mangsa.
Impak pelanggaran itu menyebabkan mangsa tercampak ke sebuah kereta Perodua Myvi dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Mangsa dikenal pasti sebagai Amirul Hafiz Omar, yang bekerja di gudang pada waktu siang dan sebagai penghantar makanan pada waktu malam.
Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Repoh, Batu Kurau, Perak.
Allahyarham meninggalkan isteri, Nor Nadia Abdul Majid, 32, serta tiga anak, iaitu Muhammad Aqif Amsyar, 9; Muhammad Afif Izz Rayqal, 7; dan Nur Humaira, 2.
























