BH Online
Ringkasan Berita

'Nyawa dibalas nyawa' - Balu tuntut keadilan buat Amirul Hafiz

KLANG: ‘Nyawa dibalas nyawa’. Itu yang diungkapkan Nor Nadia Abdul Majid, 32, balu Allahyarham Amirul Hafiz Omar, 33, yang maut dalam kemalangan akibat dirempuh pemandu mabuk Ahad lalu.
'Nyawa dibalas nyawa' - Balu tuntut keadilan buat Amirul Hafiz

Isteri Amirul Hafiz Omar, Nor Nadia Abdul Majid (kanan) hadir ke Mahkamah Majistret Klang hari ini. - Foto NSTP/Faiz Anuar

KLANG: 'Nyawa dibalas nyawa'. Itu yang diungkapkan Nor Nadia Abdul Majid, 32, balu Allahyarham Amirul Hafiz Omar, 33, yang maut dalam kemalangan akibat dirempuh pemandu mabuk Ahad lalu.

Ketika ditemui di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, Nor Nadia yang masih bersedih mahu pelaku terhadap arwah suaminya mendapat hukuman setimpal dengan jenayah dilakukan.

Beliau turut diiringi peguam, Mohd Faizi Che Abu yang dijangka memohon menjadi peguam pemerhati dalam prosiding pendakwaan terhadap tertuduh kes itu hari ini.

Berpakaian jubah hitam, dia kelihatan sugul ketika duduk di galeri awam.

Dalam kejadian jam 11.40 pagi Ahad lalu, Amirul Hafiz, maut di tempat kejadian selepas motosikal ditunggangnya dirempuh kereta dipandu tertuduh, R Saktygaanapathy yang dipercayai dipandu laju di laluan bertentangan dari arah Jalan Raya Barat menuju ke bandar Klang.

Akibat pelanggaran itu, Amirul Hafiz melambung dan tercampak ke atas sebuah Perodua Myvi dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Amirul Hafiz bekerja di sebuah gudang pada waktu siang dan sebagai penghantar makanan pada waktu malam.

Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Repoh, Batu Kurau, Perak.

Allahyarham meninggalkan isteri serta tiga anak, Muhammad Aqif Amsyar, 9; Muhammad Afif Izz Rayqal, 7, dan Nur Humaira, 2 tahun.

Video Terkini

Berita Berkaitan