BH Online
Ringkasan Berita

Suasana luar mahkamah tegang, keluarga mangsa jerit, kecam suspek kes dera seksual

SELAYANG: Suasana di kompleks mahkamah di sini, bertukar tegang apabila suspek ketiga bagi kes dakwaan penderaan seksual di sebuah rumah kebajikan, tiba untuk berdepan pelbagai pertuduhan.
Suasana luar mahkamah tegang, keluarga mangsa jerit, kecam suspek kes dera seksual

Seorang remaja lelaki diiringi polis untuk didakwa mengikut Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak di Mahkamah Majistret Selayang. NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

SELAYANG: Suasana di kompleks mahkamah di sini, bertukar tegang apabila suspek ketiga bagi kes dakwaan penderaan seksual di sebuah rumah kebajikan, tiba untuk berdepan pelbagai pertuduhan.

Suspek yang juga seorang remaja dan tidak boleh dinamakan mengikut undang-undang, dilihat menutup kepalanya dengan tuala ketika diiring masuk ke kawasan lokap.

Beberapa ibu bapa mangsa didakwa menjerit dalam bahasa Tamil ke arah suspek, meluahkan kemarahan dan kekecewaan mereka.

Seorang bapa yang kelihatan sangat marah mencabar suspek melakukan perbuatan itu terhadapnya dan bukannya kepada anaknya yang menjadi mangsa.

Seorang lelaki warga emas turut mengecam dengan berkata, 'harapkan pagar, pagar makan padi.'

Ada juga dalam kalangan orang ramai mempersoalkan tindakan menutup kepala suspek, malah menjerit supaya penutup itu dibuka dan mendesak suspek tidak dibenar jaminan selepas didakwa.

Semalam, seorang penjaga dan pengendali rumah kebajikan itu didakwa di Mahkamah Sesyen Ampang atas pelbagai pertuduhan penderaan seksual.

Penjaga, Retna Velu, 25, mengaku bersalah atas 15 pertuduhan melakukan serangan seksual dan persetubuhan luar tabii terhadap lima kanak-kanak lelaki, dengan mangsa paling muda berusia lapan tahun.

Dia tidak dibenarkan jaminan dan mahkamah menetapkan 21 Mei ini bagi menjatuhkan hukuman.

Bagi 12 pertuduhan, Retna Velu didakwa melakukan penderaan seksual secara fizikal dan bukan fizikal terhadap kanak-kanak lelaki berusia antara lapan hingga 13 tahun pada November tahun lalu serta Februari dan Mac tahun ini.

Kesalahan itu berlaku di sebuah premis di kawasan perumahan di Batu Caves, Selangor.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) dan 15(a)(i) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak.

Seksyen 14(a) memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, manakala Seksyen 15(a)(i) membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 jika sabit kesalahan.

Retna turut mengaku bersalah atas tiga pertuduhan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap dua kanak-kanak lelaki berusia lapan dan 10 tahun di rumah sama pada Februari dan Mac lalu.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara antara lima hingga 20 tahun serta sebatan.

Pengendali rumah kebajikan itu, S Valan, 31, pula mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan penderaan seksual fizikal dan bukan fizikal ke atas empat lagi kanak-kanak lelaki berusia antara 13 hingga 16 tahun antara 2019 hingga Mac lalu.

Kesalahan itu didakwa berlaku di rumah kebajikan itu dan sebuah premis di Kalumpang, Hulu Selangor.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) dan (b) akta sama yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun serta sebatan.

Dua hakim Mahkamah Sesyen masing-masing membenarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan tertuduh melapor diri di balai polis sebulan sekali, menyerahkan pasport serta tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Kedua-dua mahkamah menetapkan 10 Jun untuk sebutan semula kes itu.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Kebangkitan Tiga Tangan Selangor, mendedahkan dakwaan penderaan yang berlaku selama sedekad di rumah kebajikan tidak berlesen itu.

Dua bekas penghuni yang baru mencecah usia 18 tahun tampil membuat pendedahan berhubung penderaan berkenaan.

New Straits Times sebelum ini melaporkan sekurang-kurangnya 12 daripada 36 penghuni rumah itu menjadi mangsa penderaan.

Pemeriksaan perubatan turut menemukan kecederaan lama dan baharu yang selari dengan dakwaan penderaan seksual terhadap beberapa kanak-kanak lelaki.

Polis menahan dan mereman empat suspek termasuk pemilik rumah kebajikan berusia 31 tahun serta tiga lagi pekerja berusia antara 17 hingga 25 tahun.

Siasatan awal mendapati rumah kebajikan itu tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebaliknya beroperasi di bawah sebuah syarikat swasta.

Video Terkini

Berita Berkaitan