BH Online
Ringkasan Berita

'Anak sulung tidak lagi gembira, asyik salahkan diri, kata lebih rela mati' - Balu Allahyarham Amirul Hafiz

KLANG: Kematian penghantar barang, Allahyarham Amirul Hafiz Omar, akibat kemalangan di Jalan Raya Barat di sini, Mac lalu, menyebabkan keluarganya dirundung duka dan masih bergelut menjalani kehidupan tanpa insan tersayang mereka itu, terutama tiga anak arwah yang masih kecil.
'Anak sulung tidak lagi gembira, asyik salahkan diri, kata lebih rela mati' - Balu Allahyarham Amirul Hafiz

Nor Nadia tidak dapat menahan air mata ketika ditemui media di Mahkamah Majistret Klang, hari ini. - Foto NSTP/Faiz Anuar

KLANG: Kematian penghantar barang, Allahyarham Amirul Hafiz Omar, akibat kemalangan di Jalan Raya Barat di sini, Mac lalu, menyebabkan keluarganya dirundung duka dan masih bergelut menjalani kehidupan tanpa insan tersayang mereka itu, terutama tiga anak arwah yang masih kecil.

Malah balu Allahyarham, Nor Nadia Abdul Majid, 32, berkata anak sulung mereka, Muhammad Aqif Amsyar, 9, berterusan dihantui perasaan bersalah kerana percaya dirinya bertanggungjawab atas kematian bapa.

Nahas pada 29 Mac lalu itu berlaku ketika Amirul Hafiz yang menunggang motosikal sedang dalam perjalanan untuk membeli buku Matematik untuk Muhammad Aqif Amsyar.

"Dia asyik menyalahkan diri susulan kejadian itu. Dia juga mengaku tidak lagi gembira dan hidup sudah tidak sama tanpa papa (Amirul Hafiz).

"Bahkan, dia berkata dirinya lebih rela mati. Dia rasa bertanggungjawab kerana arwah ditimpa kemalangan ketika sedang menguruskan keperluannya.

"Namun, saya sentiasa mengingatkannya bahawa itu bukan salah dia, sebaliknya pemandu kereta terbabit yang bertanggungjawab atas apa yang berlaku," katanya.

Nor Nadia berkata, keluarganya masih berusaha menerima kematian mengejut Amirul Hafiz dan kekosongan besar yang ditinggalkan arwah.

"Kami bukan lagi keluarga bahagia seperti dulu," katanya sambil berlinangan air mata.

Selain itu, beliau memaklumkan bahawa anak keduanya, Muhammad Afif Izz Rayqal, 7, juga sering teringatkan Amirul Hafiz setiap kali melihat barang peninggalan arwah.

"Malah pernah satu hari, anak kedua bertanya kepada saya: 'Adakah saya perlu membayar apa-apa untuk berjumpa dengan papa?'" katanya.

Berikutan kematian Amirul Hafiz, Nor Nadia bersama tiga anak termasuk yang bongsu, Nur Humaira, 2, berpindah ke Perak untuk berada lebih dekat dengan keluarga.

Hari ini, beliau datang dari Perak ke Kompleks Mahkamah Klang, di sini, bagi mengikuti prosiding sebutan kes juruteknik, R Saktygaanapathy, 28, yang didakwa atas pertuduhan membunuh Amirul Hafiz dan mengambil dadah.

bhSaktygaanapathy
R Saktygaanapathy dihadapkan ke Mahkamah Majistret Klang atas tuduhan membunuh sehingga menyebabkan kematian Amirul Hafiz Omar di Jalan Raya Barat, Shah Alam, pada 29 Mac lalu. - Foto NSTP/Faiz Anuar

Saktygaanapathy didakwa membunuh mangsa pada jam 11.47 pagi 29 Mac lalu di Jalan Raya Barat.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan berikutan kes itu berada bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun, jika sabit kesalahan.

Jika tidak dikenakan hukuman mati, pesalah mesti turut dikenakan sekurang-kurang 12 sebatan.

Tertuduh kini ditahan di Penjara Sungai Buloh.

Dalam pada itu, tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pindaan memasukkan dadah tetrahydrocannabinol ke dalam badan sendiri pada jam 3.30 petang 29 Mac lalu di Jabatan Siasatan Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda maksimum RM5,000 dan pengawasan polis tidak lebih tiga tahun, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kedua-dua kes pada 22 Julai depan.

Berdasarkan hasil siasatan polis, Sakthygaanapathy didakwa memandu keretanya dengan laju menuju ke Klang dari Jalan Raya Barat sebelum merempuh Amirul Hafiz yang sedang menunggang motosikal dalam perjalanan untuk membeli buku Matematik buat anaknya.

Sakthygaanapathy dipercayai memotong beberapa kenderaan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung motosikal ditunggang mangsa.

Perlanggaran itu menyebabkan Amirul Hafiz melambung dan terhempas ke atas sebuah Perodua Myvi, sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Jenazah Amirul Hafiz kemudian selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Repoh di Larut, Perak.

Video Terkini

Berita Berkaitan