BH Online
Ringkasan Berita

Mahkamah benarkan Najib akses sebahagian dokumen dalam saman AS$8 bilion 1MDB

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak dibenarkan mengakses beberapa dokumen berkaitan saman difailkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang menuntut ganti rugi berjumlah AS$8 bilion daripada beliau dan tujuh individu lain.
Mahkamah benarkan Najib akses sebahagian dokumen dalam saman AS$8 bilion 1MDB

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Gambar fail

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak dibenarkan mengakses beberapa dokumen berkaitan saman difailkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang menuntut ganti rugi berjumlah AS$8 bilion daripada beliau dan tujuh individu lain.

Pesuruhjaya Kehakiman, Mohamad Redzuan Idrus membenarkan permohonan penemuan dokumen (discovery) dan pemeriksaan yang dikemukakan bekas perdana menteri itu bagi mendapatkan lima dokumen sebelum perbicaraan bermula pada Ogos ini.

Saman AS$8 bilion itu adalah satu daripada 22 tindakan sivil yang difailkan untuk mendapatkan semula lebih AS$23 bilion daripada beberapa individu yang didakwa terbabit dalam skandal kewangan 1MDB.

Dalam saman itu, 1MDB bersama empat anak syarikatnya iaitu 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified Investment Company Limited bertindak sebagai plaintif, dengan Najib dinamakan sebagai defendan pertama.

Tujuh defendan lain ialah Geh Choh Heng, Jasmine Loo Ai Wan, Tang Keng Chee, Vincent Beng Huat Koh, Radhi Mohamad, Kelvin Tan Kay Jin dan Nik Faisal Ariff Kamil.

Antara dokumen diperintahkan mahkamah supaya diserahkan kepada Najib ialah senarai lengkap semua wang, aset atau harta yang sudah dipulihkan, dipulangkan, dibawa pulang ke Malaysia atau direalisasikan, serta butiran prosiding undang-undang yang sudah dimulakan, diteruskan, diselesaikan, dihentikan atau dirancang terhadap pihak ketiga.

Dokumen lain yang perlu dikemukakan termasuk rekod berkaitan pemulihan, pemulangan atau restitusi wang dan aset, selain dokumen memperincikan terma serta syarat penyelesaian yang dicapai dengan mana-mana pihak berkaitan perkara itu.

Mahkamah mengarahkan plaintif dalam tempoh 21 hari untuk memfailkan dan menyerahkan afidavit kepada Najib yang menyatakan sama ada dokumen berkenaan berada atau pernah berada dalam milikan, jagaan atau kuasa mereka, serta mengemukakannya untuk pemeriksaan dan salinan.

Redzuan berkata, dokumen yang dimohon Najib adalah relevan dan perlu bagi memastikan prosiding berjalan secara adil.

Beliau berkata, sebagai pihak dalam saman itu, Najib berhak mengetahui dokumen dan butiran berkaitan jumlah yang berjaya dipulihkan dan keadaan bagaimana wang atau dokumen terbabit diperoleh.

Pada masa sama, mahkamah turut membenarkan permohonan 1MDB supaya dokumen yang dibekalkan tertakluk kepada perintah perlindungan.

"Dokumen berkenaan tidak boleh didedahkan kepada sesiapa kecuali hakim atau pesuruhjaya kehakiman yang mendengar kes, kakitangan mahkamah, pihak dalam saman ini serta peguam masing-masing.

"Dokumen itu perlu disimpan secara sulit dan digunakan semata-mata untuk prosiding ini.

"Plaintif juga dikecualikan daripada memfailkan dokumen yang tidak ditapis melalui sistem e-filing mahkamah dan dokumen berkenaan tidak boleh diakses untuk pemeriksaan awam," katanya.

Najib hadir pada prosiding hari ini dan diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, manakala 1MDB diwakili peguam Lee Shih serta Raphael Kok.

Video Terkini

Berita Berkaitan