KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini mendengar keterangan mengejutkan apabila peguam Datuk Low Beng Choo mendedahkan mendiang Lim Siew Kim didakwa marah dan dikhianati dua anak perempuannya sehingga pada mulanya berhasrat tidak mewariskan apa-apa kepada mereka daripada harta pusakanya bernilai RM1.6 bilion.
Beng Choo berkata, Siew Kim yang juga anak ketiga kepada pengasas Kumpulan Genting, mendiang Tan Sri Lim Goh Tong, pada asalnya memperuntukkan RM10 juta secara tunai kepada dua anak perempuannya menerusi wasiat pertama yang ditandatangani pada 2 November 2021 sebelum membuat keputusan mengurangkan jumlah itu secara ketara.
Dalam wasiat kedua bertarikh 11 April 2022, Siew Kim mengurangkan pemberian tunai kepada anak perempuan kedua dan ketiganya, Chan T'shiao Li, 48, serta Kimberly Chan Tshiao Miin, 45, masing-masing kepada RM900,000 dan RM100,000.
Tindakan itu mendorong kedua-dua anaknya itu mencabar kesahihan wasiat mendiang ibu mereka membabitkan aset bernilai lebih RM1.6 bilion.
"Siew Kim berkata plaintif pertama dan suaminya mencuri serta membuat tuntutan palsu daripada syarikat yang mereka terbabit, dan beliau berasa sangat dikhianati serta kecewa.
"Plaintif pertama diminta meninggalkan syarikat itu, namun akhirnya meletakkan jawatan secara sukarela.
"Bagi plaintif kedua pula, beliau membuat dakwaan mengenai keadaan mental ibunya. Selain itu, ketika suami Siew Kim dirawat di hospital, mereka bertengkar mengenai sama ada sokongan hayat perlu diteruskan atau tidak.
"Bagaimanapun, saya berbincang dengannya dan pada akhirnya saya mengingatkan bahawa mereka tetap anak-anaknya, lalu beliau memutuskan untuk memberikan jumlah yang dikurangkan itu.
"Siew Kim turut berkata mereka sepatutnya bersyukur kerana masih menerima sebahagian wang," katanya ketika memberi keterangan sebagai saksi defendan ketika pemeriksaan balas oleh peguam Tan Sri Cecil Abraham.
Beng Choo berkata, beliau kemudian mengemukakan semula isu itu dan bertanya sama ada Siew Kim mahu mengubah jumlah pemberian yang dikurangkan itu.
"Beliau menjawab dengan tegas dan dalam keadaan marah, 'tidak, tiada perubahan. Mereka tidak layak menerimanya. Mereka patut bersyukur kerana saya masih memberikan sesuatu,'" katanya.
T'shiao Li yang mengikuti prosiding dari galeri awam dilihat berpaling kepada seorang kenalan wanita dan berbual dengannya ketika pendedahan itu dibuat.
Mengimbas pertemuannya dengan Siew Kim pada 11 April 2022, Beng Choo berkata, mendiang berada di atas katil tetapi kelihatan seperti biasa, peka dan mampu menjawab setiap soalan dengan baik.
"Kami berbincang dan berbual secara santai. Pada pandangan saya, tiada sebab untuk mempercayai sebaliknya. Beliau berada dalam keadaan sedar sepenuhnya dan tahu dengan jelas apa yang ingin dilakukannya.
"Malah kali ini beliau sangat spesifik mengenai pemberian yang ingin dibuat. Beliau tahu kepada siapa dan apa yang ingin diwariskan. Tiada sebab untuk meragui perkara itu," katanya.
Beng Choo berkata, arahan tegas Siew Kim menyebabkan beliau memasukkan perubahan itu ke dalam wasiat ketiga dan terakhir yang bertarikh 28 April 2022.
Siew Kim meninggal dunia akibat kanser ovari pada Julai 2022 ketika berusia 73 tahun.
Beng Choo yang lama bertindak sebagai peguam Siew Kim, sebelum ini enggan menghuraikan sebab di sebalik perubahan pemberian berkenaan dan menyerahkan kepada mahkamah untuk menentukan sama ada maklumat itu boleh didedahkan tanpa melanggar kerahsiaan peguam dan anak guam.
Hakim Mahazan Mat Taib bagaimanapun berkata, mahkamah perlu mengetahui sebab perubahan itu dilakukan.
Pada satu ketika semasa prosiding, peguam Datuk Seri V Sithambaram yang mewakili kedua-dua beradik itu membantah keterangan berkenaan dengan alasan ia hanya bukti dengar cakap.
Selain Beng Choo, defendan pertama dan kedua yang dinamakan dalam saman itu ialah Malcolm Fernandez dan Chan Mei Yee selaku pelaksana serta pemegang amanah yang dinamakan dalam wasiat Siew Kim bertarikh 28 April 2022.
Defendan ketiga ialah adik lelaki mereka, Marcus Chan Jau Chwen, 42.
Marcus satu-satunya anak lelaki Siew Kim, diberikan 30 peratus daripada baki harta pusaka dan kuasa ke atas semua peti simpanan keselamatan milik ibunya.
Anak sulung Siew Kim, Cressa Chan T'shiao Yunn, pula menerima RM10 juta dan sebuah hartanah di Ampang Hilir, Kuala Lumpur, manakala anak perempuan Cressa turut diperuntukkan elaun RM50,000 sebulan.
Cecil mewakili Malcolm pada prosiding berkenaan.Mahkamah kemudian menetapkan 27 Julai sebagai tarikh sambung semua perbicaraan berkenaan.






















