BINTULU: Kerajaan Sarawak komited mempercepatkan proses pengukuran dan pengeluaran surat hak milik Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) bagi memastikan hak pemilik tanah terus terpelihara, selain mengelakkan pencerobohan dan pertikaian sempadan, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Katanya, usaha itu dilaksanakan menerusi Program Pengukuran Tanah NCR yang diperkenalkan sejak 2010 sebagai pendekatan lebih sistematik untuk mengiktiraf pemilikan tanah adat berdasarkan bukti sahih serta peruntukan undang-undang.
Beliau berkata, kerajaan sentiasa menjamin hak rakyat terhadap tanah NCR selagi tuntutan dapat dibuktikan mengikut perundangan, malah keseluruhan proses penyukatan tanah dilaksanakan secara percuma tanpa sebarang bayaran kepada pemohon.
"Surat hak milik yang dikeluarkan di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak adalah hak milik kekal, dikecualikan premium dan cukai tanah. Ini merupakan komitmen kerajaan dalam melindungi hak rakyat terhadap tanah adat mereka," katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak dan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) Bahagian Bintulu di Auditorium Wisma Bintulu, hari ini.
Menurut Awang Tengah, sehingga 31 Mei lalu, sebanyak 1.238 juta hektar tanah NCR di seluruh Sarawak berjaya disukat secara perimeter, manakala 966,938 hektar telah diwartakan sebagai Rizab Komunal Bumiputera di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak.
Dalam tempoh sama, sebanyak 111,166 lot individu melibatkan keluasan 133,140 hektar telah berjaya diukur, manakala 37,221 lot seluas 52,667 hektar telah menerima surat hak milik di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak.
Pada majlis itu, seramai 189 penerima menerima 270 surat hak milik melibatkan kawasan Sungai Senunok dan Sungai Kelebu, Sungai Rassan di Tubau serta Sungai Sepadok.
Awang Tengah berkata, kejayaan program itu bergantung kepada kerjasama erat pemilik tanah, ketua kaum dan ketua masyarakat, khususnya dalam mengenal pasti sempadan tanah serta memastikan tiada pertikaian sebelum kerja penyukatan dijalankan.
"Suka saya ingatkan bahawa tanah yang masih menjadi pertikaian atau dalam prosiding mahkamah tidak akan diukur sehingga kes diselesaikan atau ditarik balik," katanya.
Dalam perkembangan sama, Awang Tengah menjelaskan bahawa Kerajaan Sarawak terus memperkukuh pelaksanaan Skim Penempatan Semula (SPS) dan Skim Pembesaran Kampung (SPK) bagi menyediakan penempatan yang lebih selesa dan terancang kepada rakyat.
Sehingga kini, kerajaan sudah menyediakan 51,583 lot kediaman menerusi 113 SPS dan 175 SPK di seluruh Sarawak yang lengkap dengan kemudahan asas termasuk jalan berturap, sistem perparitan konkrit, bekalan air dan elektrik.
Katanya, kerajaan turut memperkenalkan dasar baharu dengan menaik taraf spesifikasi infrastruktur di skim baharu, selain mengurangkan premium lot kediaman sehingga 50 peratus dengan kadar maksimum RM2,500 bagi meringankan beban golongan berpendapatan rendah.
Dalam majlis sama, sebanyak 39 penerima turut menerima Lesen Pendudukan Sementara (TOL) bagi Skim Pembesaran Kampung Melayu Tubau.
Dalam pada itu, Awang Tengah mengingatkan penerima supaya memanfaatkan tanah yang diberikan untuk pembangunan dan kegiatan ekonomi keluarga, bukannya dijual demi keuntungan jangka pendek.















