BH Online
Ringkasan Berita

Jangan buang sampah merata-rata, penguatkuasaan PKM di Pulau Pinang bermula hari ini

BUKIT MERTAJAM: Pulau Pinang hari ini memulakan penguatkuasaan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) terhadap individu yang membuang sampah merata-rata di seluruh negeri dan ia mendapat sambutan positif orang ramai sebagai usaha mewujudkan persekitaran awam yang lebih bersih.
Jangan buang sampah merata-rata, penguatkuasaan PKM di Pulau Pinang bermula hari ini

Mooi Lye (kanan) bersama Baderul Amin (dua, kanan) melawat tapak pemantauan pelaksanaan PKM di Lembah Makanan Viral, Bandar Perda. NSTP / AURIS FAQRURAZZI

BUKIT MERTAJAM: Pulau Pinang hari ini memulakan penguatkuasaan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) terhadap individu yang membuang sampah merata-rata di seluruh negeri dan ia mendapat sambutan positif orang ramai sebagai usaha mewujudkan persekitaran awam yang lebih bersih.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, H'ng Mooi Lye, berkata penguatkuasaan itu susulan keputusan kerajaan negeri melaksanakannya menerusi pindaan Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

Beliau berkata, individu yang terbabit melakukan kesalahan itu akan diberikan notis hadir ke mahkamah dan bukannya dikenakan kompaun di lokasi kejadian.

Katanya, jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda sehingga RM2,000, diperintah menjalani PKM sehingga 12 jam atau kedua-duanya sekali.

"Hari ini adalah hari pertama penguatkuasaan, jadi kami mengambil peluang meningkatkan kesedaran awam supaya semua pihak termasuk penduduk tempatan, pelancong domestik dan asing memahami bahawa PKM kini dilaksanakan di seluruh Pulau Pinang.

"Pelaksanaan pada hari pertama berjalan lancar dengan pasukan penguat kuasa memberi tumpuan kepada lokasi dikenal pasti sebagai kawasan panas pembuangan sampah," katanya kepada media, di sini, hari ini.

Mooi Lye bersama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuk Baderul Amin Abdul Hamid, ahli majlis dan pegawai penguat kuasa, turut menyertai program turun padang itu bagi mengedarkan risalah serta memberi penerangan kepada orang ramai mengenai pelaksanaan penguatkuasaan baharu itu.

Media sebelum ini melaporkan mulai 1 Julai, semua PBT di Pulau Pinang akan menguatkuasakan PKM terhadap individu yang membuang sampah di tempat awam.

Kesalahan itu termasuk membuang puntung rokok, tisu, beg plastik, botol, pembungkus makanan dan sampah lain di kawasan awam, longkang, taman, pantai serta kawasan rekreasi, selain membuang sampah dari kenderaan dan meninggalkan sisa makanan selepas menjalankan aktiviti perniagaan.

Mooi Lye berkata, tiada tempoh amaran diberikan dan jika penguat kuasa mempunyai bukti mencukupi berhubung individu membuang sampah termasuk rakaman video daripada kamera badan, tindakan mengeluarkan notis kepada mereka terbabit akan dibuat.

Katanya, kerajaan negeri tidak menambah bilangan anggota penguat kuasa, sebaliknya operasi dijalankan menggunakan pegawai penguat kuasa sedia ada di pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Semua pesalah termasuk pelancong asing dan pekerja asing akan tertakluk kepada proses perundangan sama, manakala kes membabitkan kanak-kanak akan dikendalikan mengikut peruntukan undang-undang berkaitan, dengan ibu bapa atau penjaga bertanggungjawab," katanya.

Sementara itu, penyelia kawalan kualiti, Nur Aqilah Ridhuan, 29, menyifatkan langkah itu sebagai inisiatif yang baik kerana mampu memupuk rasa tanggungjawab dalam kalangan masyarakat.

"Pelaksanaan inisiatif ini sangat baik kerana setiap orang bertanggungjawab menjaga kebersihan persekitaran. Jika kita mempunyai sampah, simpan sehingga menemui tong sampah yang sesuai, bukannya membuangnya sesuka hati," katanya.

Pelajar politeknik, Muhammad Harriz Husni, 19, turut menyambut baik penguatkuasaan itu dan berkata ia dapat meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menjaga kebersihan.

"Ia bukan satu beban kerana menjaga kebersihan alam sekitar tanggungjawab semua," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan