KUALA LUMPUR: Polis mengklasifikasikan isu seorang wanita didakwa dihalau dari majlis sekolah pada 27 Jun lalu sebagai rujuk agensi lain (ROA).
Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Hoo Chang Hook, berkata pihaknya menerima laporan kedua-dua pihak berhubung kejadian terbabit.
"Kami menerima laporan daripada pihak pengurusan sekolah terbabit dan wanita berkenaan dan kes diklasifikasikan sebagai ROA (rujuk agensi lain)," katanya ketika dihubungi.
Harian Metro sebelum ini melaporkan pihak pengurusan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Yarl membuat laporan polis terhadap seorang wanita yang mendakwa dihalau ketika menghadiri acara di sekolah berkenaan pada 27 Jun lalu.
Pihak pengurusan SMK Taman Yarl dalam kenyataan memaklumkan pihaknya memandang serius dakwaan itu yang dilihat menjejaskan nama baik sekolah, guru serta seluruh komuniti sekolah berkenaan.
"Laporan polis dibuat pada 27 Jun lalu adalah sebagai langkah mengadu kepada pihak berkuasa bagi melindungi maruah sekolah dan guru selain menjaga kepercayaan serta motivasi murid sekolah ini.
"Tindakan undang-undang akan diambil oleh pihak sekolah merujuk kepada bukti bergambar dan video yang diambil wanita terbabit.
"Bukti berkenaan diserahkan mengikut saluran yang betul selari dengan peruntukan undang-undang sedia ada," menurut kenyataan itu.
Mengulas mengenai dakwaan wanita berkenaan dihalau, pihak sekolah itu menafikan perkara terbabit.
"Tiada arahan atau tindakan menghalau mana-mana ibu bapa daripada majlis berkenaan yang berlangsung dengan tertib sehingga selesai dan semua tetamu diraikan mengikut prosedur ditetapkan.
"Dakwaan bahawa tiada kerusi disediakan adalah tidak selaras dengan keadaan sebenar di lokasi majlis," katanya.
Katanya, pihak sekolah sentiasa mengamalkan budaya hormat-menghormati serta mengutamakan layanan berhemah kepada semua ibu bapa dan penjaga.
"Sepanjang majlis berlangsung, pihak sekolah berusaha memastikan kelancaran program demi keselesaan semua tetamu sehingga kebajikan makan minum turut diusahakan oleh pihak pentadbiran serta guru sekolah.
"Pihak sekolah juga menafikan dakwaan hanya seorang ibu atau bapa dibenarkan masuk mengiringi anak menerima anugerah.
"Secara keseluruhannya, dakwaan yang disebarkan tidak menggambarkan keadaan sebenar sepanjang majlis itu berlangsung," katanya.
Menurutnya, warga SMK Taman Yarl amat sedih dan terkilan apabila usaha gigih yang dicurahkan bagi menjayakan majlis itu dicemari dakwaan tidak benar.
"Bagaimanapun, SMK Taman Yarl kekal komited untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada murid dan ibu bapa.
"Pihak sekolah menyerahkan perkara ini kepada pihak berkuasa dan akan meneruskan tindakan mengikut lunas undang-undang," katanya.
Wanita terbabit pula memaklumkan dia juga membuat laporan polis selepas aduannya kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) didakwa tidak dilayan.
Katanya, laporan polis itu dibuat bagi menjamin keselamatan anak-anaknya yang didakwa menerima ugutan susulan isu berkenaan.
Wanita itu dalam kenyataan menerusi video di Facebook juga mendakwa dia bersetuju untuk menghadiri pertemuan selepas dihubungi pihak sekolah.
"Mereka dah ajak saya elok-elok, selepas itu mereka muat naik hantaran seperti hendak memprovokasi saya.
"Dalam pertemuan itu, pihak sekolah ada menawarkan untuk menarik balik laporan polis. Mereka minta untuk anggap satu sama lain seperti 'adik' dan 'abang'," katanya.
Wanita itu turut menjelaskan belum memindahkan anaknya ke sekolah lain kerana tidak mahu menjejaskan persiapan menghadapi peperiksaan.


















