BH Online
Ringkasan Berita

'Terserah pada MB Johor tentukan jumlah wakil MIC jadi EXCO selepas 4 calon menang PRN' - Raven

JOHOR BAHRU: MIC Johor tidak akan meminta tambahan wakil dalam barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor (EXCO), walaupun empat calon parti itu menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16.
'Terserah pada MB Johor tentukan jumlah wakil MIC jadi EXCO selepas 4 calon menang PRN' - Raven

ADUN Kemelah merangkap Pengerusi MIC Johor, K Raven Kumar bercakap pada sidang media hari ini. NSTP/NAJMI NOR’AZAM

JOHOR BAHRU: MIC Johor tidak akan meminta tambahan wakil dalam barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor (EXCO), walaupun empat calon parti itu menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16.

Pengerusinya, K Raven Kumar, berkata parti itu menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam menentukan pengagihan barisan EXCO itu.

Beliau berkata, antara empat wakil MIC itu, sesiapa saja boleh dilantik EXCO biarpun bukan dirinya.

"Memang semua harap mahu lebih daripada kita dapat sebelum ini, tetapi dalam Barisan Nasional (BN) kita ada satu sistem dan kita tak akan cabar sistem itu.

"Apa yang paling penting, ada antara kita yang jadi wakil (EXCO), seorang pun tidak mengapa, yang penting kita boleh menjalankan tugas.

"Saya rasa tidak kira siapa dipilih antara empat yang menang ini, tetapi saya percaya kita boleh jalankan tugas dan memberi kerjasama cukup baik," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Selain Raven yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemelah pada Pada PRN Johor ke-16, tiga lagi DUN dimenangi calon MIC ialah Kahang (V Rugendran); Perling (P Pannir Selvam) dan DUN Bukit Batu (R Kumaran).

Raven yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya negeri berkata, walaupun tiga lagi wakil MIC dalam DUN Johor itu adalah muka baharu, namun mereka sudah mempunyai pengalaman berkhidmat untuk rakyat.

"Mereka mempunyai pengalaman cukup luas, ada yang sebagai ahli majlis, mereka sudah bekerja lebih 10 tahun di kawasan.

"Jadi, pengalaman pentadbiran cukup luas dan ini akan memudahkan mereka bekerja untuk rakyat selepas ini," katanya.

Sementara itu, penganalisis politik, Prof Madya Dr Mazlan Ali berkata, peranan parti komponen yang turut menyumbang kepada kemenangan besar BN pada PRN Johor ke-16 juga perlu diambil kira.

"MCA menang lapan kerusi dan MIC memenangi empat kerusi. Jadi, Menteri Besar perlu ambil kira peranan MCA dan MIC, maknanya dalam barisan EXCO mesti juga diwakili parti komponen ini," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan