MELAKA: Selepas 85 tahun terpisah, seorang wanita warga emas berharap dapat menjejaki keluarga kandungnya sebelum terlambat.
Fatimah, 85, yang juga pesara guru dibesarkan oleh keluarga angkat Melayu sejak bayi, namun sehingga sekarang masih buntu mencari jawapan mengenai asal-usul dirinya walaupun pelbagai usaha dilakukan bersama ahli keluarga.
Menurutnya, keinginan untuk menjejaki keluarga kandung timbul selepas dia dan anak-anak berbincang mengenai sejarah keturunannya, sekali gus mendorongnya mencari semula insan yang terpisah sejak puluhan tahun lalu.
Katanya, berdasarkan maklumat dalam sijil kelahiran yang ditinggalkan ibu bapa angkatnya, dia dilahirkan pada 6 Februari 1941 dan ibu bapa kandung ketika itu dipercayai tinggal di alamat Jalan 484 Tengkera Road, Melaka.
"Bapa kandung saya bernama Chan Ghee, berasal dari China dan berketurunan Hokkien serta bekerja sebagai buruh. Ibu kandung pula bernama Tan Oi, berketurunan Inggeris yang dilahirkan di Melaka," katanya ketika ditemui, di sini.
Katanya, ibu bapa kandung menyerahkannya kepada bapa angkat bernama Abu Bakar yang ketika itu guru besar di Ayer Molek ketika dia masih bayi kerana kesukaran hidup selain keadaan tidak menentu ketika pendudukan Jepun.
Fatimah berkata, dia pernah diberitahu bahawa ibu bapanya menyembunyikannya dalam sebuah bakul ketika dalam perjalanan ke Ayer Molek sebelum terserempak dengan tentera Jepun yang melakukan pemeriksaan.
"Difahamkan ketika itu saya disembunyikan dalam bakul dan ketika pemeriksaan mereka beritahu isi bakul hanyalah sayur-sayuran. Mereka (ibu bapa kandung) berjaya melepasi pemeriksaan itu sebelum tiba dengan selamat di Ayer Molek.
"Sejak itulah saya dibesarkan oleh keluarga angkat Melayu," katanya yang menerima pendidikan sehingga memperoleh Sijil Lower Certificate of Education (LCE) sebelum melanjutkan pengajian di Maktab Perguruan Melaka.
Selepas tamat latihan perguruan, dia berkhidmat sebagai guru di beberapa sekolah di negeri ini sebelum bersara pada 6 Februari 1996 ketika bertugas di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Lintang.
Fatimah mendirikan rumah tangga dengan Md Salleh Hussin dan dikurniakan sembilan anak dan memiliki lebih 20 cucu serta cicit.
Tambahnya, status sebagai anak angkat hanya dimaklumkan oleh ibu bapa angkat selepas dia berkahwin dan sejak itu dia menyimpan hasrat untuk mengetahui asal-usul keluarga kandungnya.
Katanya, mereka sekeluarga pernah mencari maklumat di sekitar Jalan Tengkera berdasarkan alamat yang ada, namun masih belum menemui sebarang petunjuk.
"Saya tidak tahu sama ada masih mempunyai adik-beradik atau saudara-mara yang masih hidup. Walaupun peluang tipis, saya berharap dapat bertemu mereka sebelum terlambat," katanya.
Anak sulungnya, Mohd Zamri Md Salleh, 60, berkata usaha menjejaki rumah lama yang pernah didiami keluarga kandung ibunya juga tidak membuahkan hasil kerana rumah berkenaan sudah beberapa kali bertukar pemilik.
Mereka masih berharap ada pihak yang mengenali Chan Ghee, Tan Oi atau mempunyai maklumat mengenai keluarga berkenaan tampil membantu merealisasikan impian ibunya.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Mohd Zamri di talian 017 313 4794.















