BH Online
Ringkasan Berita

WTCKL perkasa budaya membaca, sumbang lebih 4,300 buku kepada Penjara Kajang

KUALA LUMPUR: Sebanyak 4,318 naskhah buku pelbagai genre berjaya dikumpulkan menerusi Kempen Sumbangan Buku anjuran Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) yang diserahkan kepada penghuni Penjara Kajang bagi menyokong usaha memperkasa budaya membaca dan pembelajaran dalam kalangan mereka.
WTCKL perkasa budaya membaca, sumbang lebih 4,300 buku kepada Penjara Kajang

Irmohizam (tiga dari kiri) menerima cenderamata daripada Supian sambil disaksikan Fauzy (dua dari kanan) dan Hadi (kanan) di Penjara Kajang, semalam. Foto ihsan WTCKL

KUALA LUMPUR: Sebanyak 4,318 naskhah buku pelbagai genre berjaya dikumpulkan menerusi Kempen Sumbangan Buku anjuran Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) yang diserahkan kepada penghuni Penjara Kajang bagi menyokong usaha memperkasa budaya membaca dan pembelajaran dalam kalangan mereka.

Inisiatif memasuki tahun ketiga penganjurannya itu menyaksikan WTCKL menjalin kerjasama dengan Penjara Kajang dalam usaha menyediakan akses kepada bahan bacaan yang mampu membantu penghuni menimba ilmu, memperluaskan pengetahuan dan membina keyakinan untuk memulakan kehidupan baharu selepas menjalani hukuman.

Pengarah Urusan Kumpulan WTCKL, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim, berkata pihaknya percaya setiap individu wajar diberi peluang untuk memperbaiki diri dan ilmu menerusi pembacaan mampu menjadi pemangkin kepada perubahan positif.

"Di WTCKL, kami percaya setiap insan mempunyai peluang untuk memperbaiki diri dan membina masa depan yang lebih baik.

"Menerusi Kempen Sumbangan Buku ini, kami berharap dapat menyumbang bahan bacaan yang bermanfaat kepada penghuni Penjara Kajang untuk mereka menimba ilmu dan mengikuti perkembangan dunia.

"Kami juga berharap usaha ini dapat memberi inspirasi kepada masyarakat untuk turut sama menyumbang dan memberikan sokongan kepada mereka," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Majlis penyerahan sumbangan buku itu dibuat Irmohizam kepada Pengarah Penjara Kajang, Mohd Sharin Sabtu.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan WTCKL, Fauzy Wahab; Ketua Bahagian Korektif dan Pemasyarakatan Penjara Kajang, Supian Kamaruddin serta Pengurus Komunikasi Pemasarannya, Hadi Wahab.

Kempen Sumbangan Buku diadakan sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 yang berlangsung di WTCKL dari 29 Mei hingga 7 Jun lalu.

Bagi memudahkan penyertaan orang ramai, tiga lokasi pengumpulan buku disediakan di sekitar WTCKL sepanjang penganjuran pesta buku itu.

Irmohizam berkata, koleksi disumbangkan merangkumi pelbagai genre termasuk buku keagamaan, novel, biografi, komik, buku rujukan, resipi dan bahan bacaan umum.

Selain itu, beliau berkata, WTCKL turut menyumbang tiga unit rak buku bagi memastikan semua koleksi berkenaan dapat disusun secara lebih sistematik dan dimanfaatkan sepenuhnya oleh penghuni Penjara Kajang.

"WTCKL turut merakamkan penghargaan kepada pihak PBAKL atas kerjasama mempromosikan kempen ini menerusi hebahan dan perkongsian di platform media sosial rasmi, sekali gus membantu meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan berkongsi ilmu.

"Sambutan menggalakkan yang diterima membuktikan rakyat Malaysia masih bersemangat tinggi untuk menyumbang kepada masyarakat melalui perkongsian ilmu, sekali gus menjadikan buku sebagai medium yang mampu membuka ruang kepada perubahan dan harapan baharu," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan