WARSAW: Pendekatan sesetengah kerajaan yang melarang produk nikotin alternatif didakwa memberi kesan negatif kepada struktur pasaran ekonomi antarabangsa apabila ia turut mendorong pertumbuhan pasaran gelap tembakau dan nikotin yang sukar dikawal.
Dasar larangan itu dikatakan bukan sekadar bertujuan menghapuskan produk atau mengubah tingkah laku pengguna, sebaliknya sering membawa kepada kesan sampingan yang tidak dijangka dalam pasaran.
Menurut penganjur Global Forum on Nicotine (GFN) 2026, pendekatan berkenaan berpotensi menjejaskan matlamat kesihatan awam kerana ia boleh mengekalkan penggunaan rokok konvensional, di samping menyuburkan perdagangan tembakau haram.
Isu kesan ekonomi akibat larangan dan perdagangan haram turut diiktiraf sebagai antara topik penting yang dibincangkan dalam persidangan itu.
"Keadaan pasaran gelap ini berlaku dalam konteks percanggahan dasar apabila rokok konvensional yang terbukti berbahaya masih dijual secara sah di banyak negara.
"Dalam menangani kesan ekonomi tersebut, pendekatan pengurangan kemudaratan dilihat sebagai strategi yang lebih pragmatik berbanding larangan menyeluruh," kata penganjur.
Dianggarkan lebih 140 juta individu di seluruh dunia menggunakan produk nikotin berisiko lebih rendah, dan mereka berpotensi beralih kepada pasaran gelap sekiranya akses terhadap produk berkenaan diharamkan sepenuhnya.
Campur tangan organisasi antarabangsa juga didakwa memburukkan lagi keadaan ekonomi tempatan apabila sesetengah negara terpaksa menerima dasar larangan yang tidak selari dengan realiti semasa.
Inovasi teknologi yang diasaskan oleh ahli farmasi dari China, Hon Lik, sebelum ini membuka ruang kepada ekonomi baharu, namun halangan dasar dilihat mengehadkan potensi perkembangan industri berkenaan.
Bagi menangani cabaran itu, perbincangan terbuka antara pengeluar, pengguna dan kerajaan diperlukan bagi membentuk kerangka percukaian serta kawal selia yang lebih seimbang.
Penyelesaian yang lebih pragmatik bukan sahaja mampu mengekang pasaran gelap, malah berpotensi mempercepatkan penurunan kadar penyakit berkaitan merokok di peringkat global.
Sementara itu, merokok kekal menjadi punca utama pelbagai penyakit tidak berjangkit di seluruh dunia, dengan kadar penurunan yang masih perlahan walaupun pelbagai langkah kawalan telah dilaksanakan.
Namun, kajian menunjukkan bahawa bahan utama yang menyebabkan kanser bukanlah nikotin, sebaliknya ribuan bahan kimia toksik yang terhasil daripada proses pembakaran tembakau.
Dengan menghapuskan proses pembakaran itu, tahap kemudaratan kesihatan dapat dikurangkan secara ketara menerusi penggunaan pelbagai produk alternatif yang dianggap lebih selamat.
GFN menyatakan: "Pengurangan kemudaratan tidak memfokuskan kepada pembasmian produk, menyedari bahawa larangan sering membawa kepada akibat yang tidak diingini".
Menurut forum itu, strategi kawalan tembakau sedia ada dilihat tidak berkembang seiring dengan keperluan mendesak kesihatan awam global yang semakin kompleks.
Sebahagian besar pengguna produk alternatif dilaporkan berjaya berhenti merokok atau sekurang-kurangnya mengurangkan penggunaan tembakau berisiko secara ketara.
Namun, keadaan menjadi membimbangkan apabila produk alternatif yang didakwa memberi manfaat kepada perokok dewasa turut berdepan risiko larangan di beberapa negara.
Sekiranya akses kepada pilihan alternatif itu disekat, pasaran gelap berpotensi mengambil alih permintaan dalam kalangan perokok yang mencari pilihan berisiko lebih rendah.
























