KUALA LUMPUR: Coway Malaysia melakar sejarah baharu sempena ulang tahun ke-20 operasinya di negara ini apabila memperkenalkan siri peti sejuk pertama jenama itu, sekali gus menjadikan Malaysia sebagai pasaran pertama dalam rangkaian global Coway yang menerima produk berkenaan.
Pelancaran yang berlangsung sempena Coway Innovation Fest itu mencerminkan usaha syarikat Best Life Solution berkenaan memperluaskan penawaran produknya daripada penyelesaian kelengkapan rumah kepada ekosistem gaya hidup yang lebih menyeluruh.
Berteraskan tema ulang tahun 'Tiada Kompromi', Coway dalam kenyataan berkata, pengenalan kategori baharu itu membuktikan komitmennya untuk terus menawarkan inovasi yang memenuhi keperluan isi rumah moden, di samping mengekalkan kepercayaan pengguna yang dibina sejak dua dekad lalu.
Siri peti sejuk baharu itu hadir menerusi dua model iaitu Peti Sejuk Empat Pintu 551 liter (L) dan Peti Sejuk Dua Pintu 715L yang direka bagi memenuhi keperluan penyimpanan berbeza mengikut saiz dan gaya hidup pengguna.
Model Empat Pintu 551L dilengkapi empat zon suhu boleh ubah, teknologi Triple Inverter, sistem penjagaan Dual Hygiene serta kemasan penyejukan logam bagi memastikan kesegaran makanan lebih lama. Sementara itu, model Dua Pintu 715L menawarkan ruang simpanan lebih luas bersama laci kawalan kelembapan, teknologi Double Inverter dan sistem penyejukan yang memberi penekanan terhadap aspek kebersihan.
Pengurus Bahagian Pemasaran Coway Malaysia, Janice Tan, berkata pelancaran siri peti sejuk itu melambangkan aspirasi syarikat untuk berkembang sebagai rakan penyelesaian gaya hidup yang lebih komprehensif kepada pengguna.
"Ulang tahun ke-20 ini bukan sekadar meraikan pencapaian kami, malah mencerminkan hala tuju masa depan Coway. Kami mahu terus menawarkan penyelesaian yang relevan dengan keperluan pengguna tanpa berkompromi dari segi kualiti, inovasi dan perkhidmatan," katanya.















