SYDNEY: Saintis mengesan strain H5 selesema burung di Australia buat pertama kali, sekali gus bermakna varian yang sangat mudah berjangkit itu kini sudah merebak ke semua benua, kata Menteri Pertanian, Julie Collins.
Collins berkata, virus itu dikesan pada seekor burung laut migrasi, iaitu spesies 'brown skua', di kawasan terpencil di Australia Barat dan keputusan itu disahkan oleh agensi sains negara.
Sampel daripada seekor lagi spesies burung yang sakit, iaitu 'giant petrel', turut menunjukkan keputusan disyaki positif.
"Walaupun mengecewakan, ia tidak mengejutkan memandangkan penyebaran global selesema burung H5.
"Saya boleh mengesahkan setakat ini masih tiada bukti kematian besar-besaran, dan juga tiada bukti jangkitan dalam mana-mana ternakan ayam.
"Kita semua tahu kita tidak boleh bebas daripada selesema burung selama-lamanya.
"Sebelum ini, Australia adalah satu-satunya benua yang belum mengesan strain H5, yang boleh memusnahkan ayam ternakan dan burung liar," katanya kepada pemberita di Canberra.
Satu mesyuarat kecemasan membabitkan pegawai kesihatan haiwan dan pertanian diadakan bagi mempertimbangkan tindak balas pada peringkat nasional.
Strain H5 itu boleh menyebabkan penyakit teruk dan kadar kematian tinggi dalam ayam ternakan, burung liar serta beberapa haiwan lain di seluruh dunia.
Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, berkata kes ini membimbangkan dan kerajaan akan mengambil langkah untuk mengawal penularan penyakit itu.
"Ini berlaku melalui burung migrasi dan telah berlaku di seluruh dunia, sebab itu kita sedang membuat persiapan," katanya.
Burung yang paling terjejas termasuk itik, burung pantai, burung laut dan burung pemangsa.
Mamalia laut juga turut terkesan, selain kes dikesan pada haiwan lain seperti kucing, kambing, alpaka dan babi.
Pada Khamis, saintis Australia berkata strain H5 membunuh lebih 13,000 anak anjing laut gajah selepas menjangkiti satu koloni pembiakan di sebuah pulau gunung berapi sub-Antartika, iaitu salah satu wilayah luar Australia. - AFP
























