KAHERAH: Liga Arab semalam melantik diplomat veteran Mesir, Nabil Fahmy sebagai Setiausaha Agung baharu pertubuhan itu.
Dalam satu kenyataan, tempoh perkhidmatan Nabil selama lima tahun akan bermula awal bulan depan, sekali gus menggantikan penyandang jawatan itu, Ahmaed Aboul Gheit.
Ahmaed Aboul sudah berkhidmat selama dua penggal sebagai ketua badan serantau itu.
Nabil pernah mengetuai Kementerian Luar Mesir antara Jun 2013 hingga Julai 2014.
Beliau menjadi warga Mesir kelapan yang dilantik sebagai Setiausaha Agung Liga Arab yang berpangkalan di Kaherah, Mesir.
Pencalonan Nabil secara sebulat suara dibuat pada Mac lalu.
Daripada 22 negara anggota Liga Arab, hanya seorang bukan warganegara Mesir yang memegang jawatan itu, iaitu bekas Perdana Menteri Tunisia, Chedli Klibi pada 1980-an.
Ketika itu, Mesir digantung daripada pertubuhan itu susulan terbabit perjanjian damai dengan Israel.
Nabil, 75, menyifatkan pelantikan itu sebagai satu tanggungjawab besar memandangkan wujud cabaran berkaitan pelanggaran undang-undang antarabangsa dan konflik yang menjejaskan keselamatan negara Arab.
Walaupun beliau tidak menyebut secara langsung Iran atau Israel, kenyataannya dilihat selari dengan pendirian kepimpinan Liga Arab terdahulu.
Liga Arab yang ditubuhkan pada 1945 berfungsi sebagai forum politik bagi negara Arab untuk membincangkan dan menyelaraskan pendirian bersama dalam isu serantau.
























