BH Online
Ringkasan Berita

'BH kekal jadi media rujukan rakyat, sampaikan maklumat tepat, bertanggungjawab' - Ketua Hakim Negara

KUALA LUMPUR: Ketua Hakim Negara, Tun Wan Ahmad Farid Wan Salleh, berharap BH terus kekal sebagai sumber berita yang dipercayai masyarakat dan memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat yang tepat, berwibawa serta berintegriti di negara ini.
'BH kekal jadi media rujukan rakyat, sampaikan maklumat tepat, bertanggungjawab' - Ketua Hakim Negara

Ketua Hakim Negara, Tun Wan Ahmad Farid Wan Salleh (kiri) dan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar.

KUALA LUMPUR: Ketua Hakim Negara, Tun Wan Ahmad Farid Wan Salleh, berharap BH terus kekal sebagai sumber berita yang dipercayai masyarakat dan memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat yang tepat, berwibawa serta berintegriti di negara ini.

Beliau berkata, BH yang menyambut ulang tahun ke-69 hari ini, perlu terus memperkukuh peranannya sebagai institusi media yang menjadi rujukan rakyat, selain mendukung amalan kewartawanan yang beretika dan bertanggungjawab.

Katanya, BH juga diharapkan dapat merealisasikan slogan 'Wadah Pembaharuan' dengan terus menghasilkan laporan berkualiti, seimbang dan berteraskan fakta, sekali gus menyumbang kepada pembangunan masyarakat yang lebih berilmu serta bermaklumat.

"Menjengah usia hampir tujuh dekad, saya berharap BH akan terus menjadi sumber berita yang dipercayai masyarakat di negara ini.

"Saya juga berbangga kerana BH menerbitkan banyak artikel saya ketika menjadi peguam di era 90-an dulu dan ia masih boleh dibaca sehingga kini," katanya ketika menyampaikan ucapan tahniah sempena ulang tahun ke-69 BH, hari ini.

ULANG TAHUN KE-69 BERITA HARcacaIAN
Kakitangan BH bergambar kenangan sempena ulang tahun ke-69 di Balai Berita, Bangsar. NSTP/NUR LIYANA MOHD NOORZALLY

Sementara itu, Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, berkata selama hampir tujuh dekad, BH berkembang seiring perjalanan negara dengan merakam sejarah semasa dan menjadi sumber maklumat yang dipercayai masyarakat.

Beliau berkata, keupayaan sesebuah organisasi media terus relevan sepanjang tempoh yang panjang itu bukan sekadar diukur melalui usia, tetapi melalui keyakinan yang diberikan pembacanya.

"Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada seluruh warga BH sempena ulang tahunnya ke-69.

"Saya menghargai usaha BH memberikan liputan terhadap isu berkaitan undang-undang dan pentadbiran keadilan secara bertanggungjawab.

ULANG TAHUN KE-69 BadbacERITA HARIAN
Sambutan ulangtahun BH ke-69 diadakan meriah di Balai Berita, Bangsar. NSTP/NUR LIYANA MOHD NOORZALLY

"Pelaporan yang berasaskan fakta, disertai penjelasan yang seimbang, membantu masyarakat memahami sesuatu isu dalam konteks yang betul dan hal ini penting kerana persepsi awam sering terbentuk daripada maklumat yang diterima, sedangkan kefahaman yang baik hanya dapat dibina melalui laporan yang tepat dan bertanggungjawab," katanya.

Mohd Dusuki berkata, kedaulatan undang-undang bukan hanya dipelihara di mahkamah atau melalui institusi perundangan, tetapi ia turut diperkukuh apabila masyarakat memperoleh maklumat yang benar, memahami hak dan tanggungjawab mereka serta mampu menilai sesuatu isu dengan rasional dan berlandaskan fakta.

Beliau berkata, dalam hal ini, media termasuk BH memainkan peranan yang cukup bermakna," katanya.

Mohd Dusuki berkata, dalam dunia yang menyaksikan penyebaran maklumat bergerak pantas, ketepatan tidak seharusnya dikorbankan demi kepantasan, manakala integriti tidak boleh diketepikan demi sensasi.

Justeru, beliau berharap, BH terus berpegang kepada prinsip kewartawanan yang bertanggungjawab dan kekal menyampaikan berita serta informasi yang tepat, adil dan berintegriti.

"Semoga legasi yang dibina selama 69 tahun akan terus diperkasakan demi kepentingan masyarakat, negara dan generasi akan datang serta terus cemerlang menggalas amanah yang besar ini," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan