BH Online
Ringkasan Berita

Damai sementara AS-Iran redakan tekanan fiskal kerajaan

PEMETERAIAN memorandum persefahaman (MoU) antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran pada 17 Jun lalu melakarkan sejarah penting dalam persekitaran geopolitik moden.
Damai sementara AS-Iran redakan tekanan fiskal kerajaan

Kita mesti meletakkan dasar luar dan ekonomi negara selangkah ke hadapan, memaksimumkan manfaat perdagangan sementara bersiap siaga menghadapi gelombang geopolitik pasca-damai AS-Iran ini.

PEMETERAIAN memorandum persefahaman (MoU) antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran pada 17 Jun lalu melakarkan sejarah penting dalam persekitaran geopolitik moden.

Dokumen ditandatangani secara maya oleh Presiden AS, Donald Trump di Istana Versailles dan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian di Tehran ini berjaya meredakan ketegangan maritim dan krisis ketenteraan hampir melumpuhkan ekonomi global.

Namun, timbul satu persoalan kritikal adakah ia satu formula kestabilan hakiki untuk Asia Barat atau sekadar 'jeda waktu' sebelum ribut baharu melanda.

Bagi Malaysia, isu ini bukan sekadar pergolakan di bumi asing, tetapi gelombang secara langsung merempuh kantung ekonomi negara, mencabar kelicikan diplomasi ASEAN serta menguji pendirian kita berhubung nasib dunia Islam dan Palestin.

Secara tersurat, Klausa 1 MoU itu menggariskan pemberhentian segera operasi ketenteraan di semua barisan, termasuk di Lubnan.

Bagaimanapun, kumpulan Houthi di Yaman dilaporkan tidak meletakkan senjata, sebaliknya mengeksploitasi tempoh bertenang 60 hari untuk menaik taraf jarak operasi dan ketepatan peluru berpandu mereka.

Di Lubnan pula, wujud percanggahan tafsiran apabila dua rangka perjanjian berbeza saling bertindih, menyaksikan Israel terus melancarkan operasi ketenteraan tanpa mempedulikan MoU AS-Iran, manakala Hizbullah bertegas menolak sebarang cubaan perlucutan senjata.

Perjanjian ini membuktikan pertalian ideologi proksi Iran tidak terpadam hanya dengan sehelai kertas diplomasi di Versailles.

Dari sudut ekonomi, rakyat Malaysia dan pembuat dasar di Putrajaya boleh menarik nafas lega. Sebelum ini, penutupan Selat Hormuz melonjakkan harga minyak mentah Brent melepasi paras AS$100 satu tong, memaksa kerajaan menanggung lonjakan bil subsidi bahan api RON95 dan diesel dijangka mencecah RM3.2 bilion sebulan.

Menerusi Perkara 10 dalam MoU itu, AS mengeluarkan Lesen Am X membenarkan pengecualian sekatan selama 60 hari ke atas pengeluaran, penjualan dan penghantaran minyak Iran ke pasaran global.

Sentimen positif ini segera menolak turun harga minyak mentah Brent ke paras sekitar AS$72 hingga AS$76 satu tong. Penurunan harga ini secara langsung menyelamatkan defisit fiskal negara kita daripada melebar ke zon bahaya.

Malah, Duta Besar Iran ke Malaysia menyifatkan pembukaan pasaran ini sebagai peluang keemasan buat PETRONAS. Malaysia bukan entiti asing di sana kerana PETRONAS pernah memeterai memorandum pada akhir 2016 untuk mengkaji pembangunan padang minyak gergasi South Azadegan dan Cheshmeh Khosh.

Walaupun pelaburan berskala besar berisiko tinggi kerana perjanjian AS-Iran ini tertakluk pada 'defisit kepercayaan' perlembagaan AS yang mana presiden boleh membatalkannya secara sepihak, ia tetap menawarkan ruang bernafas taktikal kepada rantaian bekalan komoditi negara.

Tumpuan ke arah strategi 'Peralihan ke Asia'

Satu anjakan strategik kurang diperhatikan adalah matlamat serampang dua mata AS. Berakhirnya kemelut di Asia Barat membolehkan tentera AS mengalihkan tumpuan sepenuhnya ke arah strategi 'Peralihan ke Asia'.

Ini bermakna persaingan hegemoni AS-China di koridor Laut China Selatan dan Indo-Pasifik akan menjadi jauh lebih agresif.

Akhir sekali, di manakah letaknya perjuangan pembebasan Palestin dalam catur kuasa ini. AS berjanji, melalui rundingan untuk menubuhkan dana pembinaan semula dan pembangunan ekonomi Iran sekurang-kurangnya AS$300 bilion.

Sebahagiannya dijangka ditarik daripada rakan strategik Arab serantau. Kesan positifnya, aliran pelaburan ini mungkin meredakan sengketa sejarah.

Namun, dunia Islam bimbang penderitaan umat di Palestin 'dikorbankan' demi menstabilkan pasaran minyak.

Menjawab keresahan ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan lantang memberi amaran ketika sidang media antarabangsa di Kazan, Russia, dunia 'tidak boleh sesekali melupakan penderitaan dilalui rakyat Gaza dan Lubnan akibat kekejaman rejim Zionis' biarpun perjanjian damai ini dialu-alukan.

Pendirian Malaysia jelas. Kestabilan pasaran tenaga tidak boleh dijadikan galang ganti untuk membutakan mata dunia terhadap keadilan kemanusiaan sejagat.

Umumnya, MoU AS-Iran membawa nafas ekonomi diperlukan, tetapi ombak geopolitik ditinggalkannya menjanjikan cabaran baharu.

Kita mesti meletakkan dasar luar dan ekonomi negara selangkah ke hadapan, memaksimumkan manfaat perdagangan sementara bersiap siaga menghadapi gelombang geopolitik pasca-damai AS-Iran ini.

Penulis adalah Pengarang Bisnes

Video Terkini

Berita Berkaitan