BH Online
Ringkasan Berita

Mengharap perang Asia Barat berakhir, pasaran minyak pulih

LANDSKAP perdagangan maritim dan rantaian bekalan tenaga dunia kini berada pada fasa paling kritikal dalam sejarah moden. Pemantauan terbaharu menerusi platform IMF PortWatch mendedahkan aliran trafik komersial di Selat Hormuz masih pada tahap lumpuh dan belum menunjukkan sebarang isyarat pemulihan rantaian bekalan dalam waktu terdekat ini.
Mengharap perang Asia Barat berakhir, pasaran minyak pulih

Foto hiasan

LANDSKAP perdagangan maritim dan rantaian bekalan tenaga dunia kini berada pada fasa paling kritikal dalam sejarah moden. Pemantauan terbaharu menerusi platform IMF PortWatch mendedahkan aliran trafik komersial di Selat Hormuz masih pada tahap lumpuh dan belum menunjukkan sebarang isyarat pemulihan rantaian bekalan dalam waktu terdekat ini.

Selat strategik yang hanya sepanjang 21 batu nautika dan memisahkan Iran serta Oman ini, dahulunya nadi tenaga perindustrian dunia.

Menurut data rasmi Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), laluan sempit ini sebelum tercetusnya konflik mengendalikan sekitar 25 peratus keseluruhan perdagangan minyak mentah maritim global, di samping 20 peratus kekerapan eksport gas asli cecair (LNG) dunia yang kini bertukar menjadi laluan berisiko tinggi.

Ancaman ini bukan rekaan semata-mata, apabila data amaran daripada Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) menegaskan gangguan laluan maut itu menyekat lebih 15 hingga 18 juta tong minyak mentah sehari daripada memasuki pasaran Barat.

Situasi ini mencetuskan kebimbangan pakar ekonomi antarabangsa mengenai potensi berlakunya krisis keselamatan tenaga berskala makro, sekiranya konflik serantau ini berlarutan melampaui suku ketiga tahun ini tanpa ada sebarang resolusi tuntas.

Namun, satu persoalan besar mula mendapat perhatian meluas penganalisis pasaran ketika ini mengapa harga pasaran minyak dunia susut bawah paras AS$100 satu tong ketika ini.

Berdasarkan pemantauan pasaran komoditi pada akhir minggu lalu, minyak mentah penanda aras AS (WTI) masih diniagakan pada purata AS$84.88 satu tong.

Harga ini disifatkan agak tenang, jauh daripada dijangkakan susulan spekulasi pelabur mengenai kemajuan perjanjian damai antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran.

Kunci utama kestabilan sementara ini adalah sentimen pasaran terhadap 'Faktor Trump'. Intervensi lisan secara berterusan Presiden AS, Donald Trump melalui platform media sosial meredakan ketegangan spekulator biarpun kadangkala disangkal pimpinan Iran.

Pedagang komoditi kini mengambil langkah berjaga-jaga yang tinggi dan tidak sanggup membuat pertaruhan jangka panjang sepanjang hujung minggu, bimbang tersilap langkah menentang naratif sentimen pasaran Rumah Putih.

Walaupun harga kelihatan terkawal di atas kertas, data teknikal di perairan membuktikan sebaliknya.

Berdasarkan pangkalan data satelit Sistem Pengenalan Automatik (AIS) oleh Tabung Kewangan Dunia (IMF) dan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), jumlah purata transit Selat Hormuz menjunam daripada 138 kapal sehari kepada hanya enam hingga lapan kapal sahaja setiap hari.

Bukan sekadar minyak, pangkalan data WTO turut mengesahkan penguncupan perkapalan pada peringkat melumpuhkan rantaian industri. Penghantaran kargo LNG ke pasaran Eropah dan Asia Timur mencatatkan tahap kejatuhan 99 peratus, isi padu keluar tangki minyak mentah menjunam 95 peratus, manakala pergerakan baja dan bahan kimia jatuh 87 peratus.

Statistik bahan kimia dan baja ini dikategorikan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) sebagai loceng amaran krisis bekalan makanan global.

Bagi menangani risiko tidak seimbang ini, persatuan pengurusan perkapalan menerusi Dewan Perkapalan Antarabangsa (ICS) melaporkan konsortium logistik antarabangsa seperti Maersk, MSC dan Hapag-Lloyd menggantung sepenuhnya perkhidmatan merentasi kawasan konflik itu.

Tindakan berjaga-jaga ini memaksa lebih 150 kapal tangki muatan super gergasi sekadar berlabuh di luar perairan konflik, melindungi liabiliti aset ratusan juta dolar mereka.

Fasa fenomena pusing ganti

Dalam kesuraman konflik ini, wujud fasa fenomena pusing ganti menerusi operasi pelayaran kapal berprofil rendah. Ia menggunakan kepakaran taktik komunikasi tentera laut AS dan sistem navigasi buta mematikan kelipan satelit AIS atau lebih dikenali sebagai 'dark sailing'.

Namun, faktor penyumbang paling drastik mempertahankan paras harga minyak daripada melonjak di luar kawalan berpunca secara ironi di Asia, iaitu kelemahan permintaan dari China.

Data makroekonomi terbaharu mempamerkan jumlah purata import negara itu menguncup sehingga ke paras 7.8 juta tong sehari menjelang Mei lalu, penurunan mendadak daripada paras normal sebanyak 11 juta tong sehari sebelum ini. Sektor perindustrian Beijing yang tidak aktif ini meletakkan keseimbangan kos logistik dalam kitaran margin harga masih boleh dikawal.

Sementara itu, krisis demi krisis lalu mewujudkan ekosistem ketahanan tenaga perindustrian dunia baharu. Bank Dunia mendedahkan struktur kecekapan tenaga Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global semakin mapan.

Jumlah penggunaan tenaga untuk setiap dolar dihasilkan menyusut hampir satu pertiga di AS dan Eropah, secara purata 40 peratus jauh lebih efisien di China berbanding era awal 2000.

Walaupun rantaian harga dapat diseimbangkan secara sementara, implikasi logistik fizikal mencetuskan satu realiti kos marin tinggi. Kapal kargo mega kini tiada alternatif komersial selain melencong 14 hari pelayaran melalui benua Afrika, sejauh 3,500 batu nautika.

Kajian Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD) mengakui lencongan ekstrem ini melonjakkan kadar caj harian sewaan perkapalan VLCC setinggi 240 peratus.

Bagi mendepani kekurangan penyaluran di laluan sempit Selat Hormuz, pelaburan strategik mega infrastruktur logistik darat rantau Arab mula menunjukkan hasil luar jangka.

Operasi integrasi harian Talian Paip Timur-Barat Arab Saudi dan saluran alternatif Emiriah Arab Bersatu (UAE) mampu beroperasi memaksimumkan penyaluran bekalan sehingga sembilan juta tong minyak sehari, sementara Iran terpaksa mencari pelan eksport alternatif dengan mengaktifkan pengedaran kontena rel darat terus menuju koridor perindustrian di Yiwu, China.

Ketika inisiatif logistik darat terus bernafas, pemulihan jangka panjang pasaran kekal dibayangi pergeseran meja perundingan dan kerangka undang-undang.

Apa yang paling membimbangkan komuniti kewangan antarabangsa kini adalah klausa amaran terakhir pasaran diibaratkan bom jangka. Menurut laporan penganalisis, perlindungan daya tahan bekalan antarabangsa kian rapuh kerana stok simpanan bahan api blok elit perindustrian Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) dijangka susut di bawah tahap ambang bahaya 2.3 bilion tong menjelang akhir Disember, angka terburuk direkodkan sejak 2003.

Seperti amaran disuarakan Naib Presiden Kanan Exxon Mobil, Neil Chapman, sekiranya zon penampan kritikal di wilayah utama seperti Cushing, Oklahoma mengalami kekeringan, pasaran tidak lagi mempunyai keupayaan menampan dan risiko harga minyak fizikal dunia bakal meningkat melepasi tahap AS$150 hingga AS$160 satu tong, sekali gus bakal meningkatkan inflasi.

Penulis ialah Pengarang Bisnes BH

Video Terkini

Berita Berkaitan