BH Online
Ringkasan Berita

Ada 'pendarahan ekonomi' di sebalik konvoi motosikal ragut nyawa

TRAGEDI Subuh menimpa sekumpulan penunggang motosikal Yamaha RXZ di Kilometer 246.4 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) berhampiran susur keluar Plaza Tol Jabor, Kuantan baru-baru ini bukan sekadar satu lagi catatan malang di dada akhbar.
Ada 'pendarahan ekonomi'  di sebalik konvoi motosikal ragut nyawa

Insiden ngeri sekumpulan penunggang motosikal Yamaha RXZ di Kilometer 246.4 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) berhampiran susur keluar Plaza Tol Jabor, Kuantan baru-baru ini.

TRAGEDI Subuh menimpa sekumpulan penunggang motosikal Yamaha RXZ di Kilometer 246.4 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) berhampiran susur keluar Plaza Tol Jabor, Kuantan baru-baru ini bukan sekadar satu lagi catatan malang di dada akhbar.

Insiden ngeri pada awal pagi Sabtu meragut empat nyawa secara berturut-turut dan mencederakan 20 penunggang lain ini satu cerminan krisis kian meruncing di negara kita.

Bagi mereka yang berada di lokasi kejadian, pemandangan puluhan motosikal dan tubuh manusia bergelimpangan di laluan lebuh raya gelap mengundang trauma sukar dipadamkan.

Realitinya, kemalangan rantaian membabitkan lebih 30 motosikal dan sebuah kereta Toyota Vios ini memaksa kita merenung kembali sedalam-dalamnya budaya permotoran belia kita.

Sebagai pengamal media sering meneliti angka dan dasar makroekonomi, penulis melihat insiden ini lebih daripada sekadar kegagalan membrek, kelewatan bertolak akibat hujan lebat atau kerosakan teknikal.

Di sebalik setiap nyawa melayang dan tubuh parah, wujud 'pendarahan ekonomi' berskala besar terpaksa ditanggung ekosistem kewangan, kesihatan dan jaringan perlindungan sosial negara.

Laporan Kementerian Pengangkutan (MOT) merekodkan kerugian ekonomi negara akibat kemalangan jalan raya melambung kepada RM25 bilion pada 2023, secara kasarnya menelan hampir 1.5 peratus daripada keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Ini satu ketirisan modal insan dan kewangan sangat kritikal.

Menurut Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), setiap kehilangan nyawa di jalan raya membawa kerugian nilai kehidupan statistik (VSOL) dianggarkan antara RM1.2 juta sehingga RM3.12 juta.

Nilai besar ini mengambil kira kehilangan produktiviti tenaga kerja, kos rawatan perubatan, pelaburan pendidikan dan potensi sumbangan ekonomi mangsa sepanjang hayatnya, rata-ratanya terdiri daripada golongan muda.

Dalam insiden LPT1, 20 penunggang RXZ cedera terpaksa dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah (UIAM) untuk menerima rawatan kecemasan.

Kajian mendedahkan kos penjagaan kritikal dan pembedahan trauma bagi kes parah sebegini boleh melonjak melebihi RM30,000 setiap pesakit apabila ditahan lama di wad.

Purata kos bagi kecederaan parah ditaksir boleh mencecah RM120,000 bagi pemulihan jangka panjang. Beban perubatan luar biasa ini akhirnya digalas pembayar cukai, ketika infrastruktur hospital kerajaan sedia ada sudah pun padat dengan keperluan mendesak yang lain.

Dari sudut perlindungan sosial, agensi seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sentiasa terpaksa mengerah dana sokongan bagi mangsa kemalangan. Menerusi Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 Jam), PERKESO menyalurkan jutaan ringgit hanya dalam tempoh singkat, merangkumi kos pembedahan implan besi serta bayaran Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS) bagi mangsa lumpuh tidak mampu bekerja akibat nahas seumpama ini.

Di sinilah wujudnya satu pertembungan ekonomi sangat meresahkan pembuat dasar. Di satu sudut, penganjuran perhimpunan mega permotoran seperti dilihat sebagai satu lubuk emas bagi merancakkan kitaran ekonomi mikro tempatan.

Bayangkan, limpahan ekonomi daripada kehadiran ribuan peserta ini mampu mencecah janaan sekitar RM40 juta dalam tempoh satu hujung minggu, mencakupi perbelanjaan bahan api, rumah tumpangan, perniagaan makanan dan minuman serta barangan cenderamata.

 Bahaya dinamika mentaliti kelompok 

Menyedari impak besar penggerak ekonomi dipacu program belia ini, kerajaan menyalurkan peruntukan kepada pihak penganjur.

Ia satu pelaburan yang berniat baik dengan harapan acara besar sebegini dapat diuruskan dengan lebih tersusun dan paling utama terjamin tahap keselamatannya.

Namun, apakah erti janaan RM40 juta dalam kitaran mikro jika akhirnya ia terpaksa dibayar dengan kos negatif berbilion ringgit pada peringkat makro akibat lonjakan kadar kemalangan maut.

Nahas di LPT1 itu membongkar bahaya dinamika mentaliti kelompok. Apabila penunggang bergerak secara berkonvoi rapat membabitkan puluhan jentera pada kelajuan ekstrem, ia mencipta persekitaran 'masa reaksi sifar'.

Tatkala motosikal pertama merempuh belakang kereta, puluhan konvoi di belakangnya tidak lagi memiliki ruang dan detik mengelak, lantas mencetus kesan rantaian 'mematikan' sesama rakan sendiri.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali secara tegas mengingatkan aktiviti konvoi bukan medan menunjuk kehebatan, keberanian, mahupun aksi berbahaya di jalanan.

Sindrom bangga diri sering mencengkam psikologi penunggang berasa 'kebal' apabila berada di dalam kumpulan besar, menyebabkan mereka menormalisasikan kelajuan melulu untuk diiktiraf rakan.

Di samping itu, pihak berkuasa sering kali terpaksa menasihati dan mengeluarkan amaran tegas berhubung keberanian kelompok 'marshal' konvoi lantikan sendiri sewenang-wenangnya bertindak menyekat kenderaan awam lain dan menawan lorong tanpa penyeliaan polis trafik.

Justeru, bagi merawat isu ekonomi ini, penganjur perhimpunan mega permotoran pada masa hadapan perlu dipaksa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) penganjuran jauh lebih utuh.

Sokongan birokrasi dan kelulusan rasmi perlu bersandarkan Indeks Prestasi Utama (KPI) pengurusan tanpa nahas.

Aspek penguatkuasaan juga mesti disokong dengan pelaksanaan inovasi teknologi supaya ilusi kekebalan undang-undang bagi penunggang berlumba dapat dihapuskan secara adil.

Akhir sekali, masyarakat dan seluruh lapisan komuniti kelab permotoran negara perlu mendengar rintihan ahli keluarga di rumah.

Kita tidak seharusnya menghukum semberono hobi permotoran mahupun menidakkan pulangan ekonomi tempatannya, namun kita terdesak untuk mereformasi keseluruhan ekosistem penganjurannya.

Selagi kelajuan jentera lebih dijulang berbanding nilai nyawa, selagi itulah impak kemalangan jalan raya akan terus menghantui ekonomi. Nyawa setiap penunggang terlalu mahal untuk dipertaruhkan hanya demi sebuah konvoi.

Penulis ialah Pengarang Bisnes BH

Video Terkini

Berita Berkaitan