Program SejaTi MADANI hasil idea Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semakin membuktikan bahawa pembangunan ekonomi tidak semestinya bermula dengan projek berskala besar. Sebaliknya, pembangunan yang benar-benar memberi kesan kepada kehidupan rakyat boleh digerakkan melalui projek komuniti yang praktikal, berdaya maju dan menepati keperluan setempat.
Di Negeri Sembilan, sebanyak 466 projek SejaTi MADANI diluluskan sehingga 20 Julai 2026 membabitkan 436 komuniti dengan nilai keseluruhan geran berjumlah RM42.69 juta. Pencapaian ini menunjukkan komitmen kerajaan untuk memperluas peluang ekonomi kepada masyarakat di peringkat kampung, kawasan perumahan, tanah rancangan dan komuniti Orang Asli.
Hampir 87 peratus daripada keseluruhan peruntukan di Negeri Sembilan disalurkan sejak tahun pertama pelaksanaan program pada 2024. Tumpuan awal yang besar ini membolehkan komuniti mendapatkan aset, peralatan dan modal permulaan bagi menggerakkan aktiviti ekonomi dengan lebih cepat.
Pelaksanaan SejaTi MADANI juga meliputi kesemua lapan kawasan Parlimen di Negeri Sembilan. Kuala Pilah mencatatkan jumlah kelulusan tertinggi dengan 88 projek bernilai RM8.47 juta. Ia diikuti Jempol dengan 69 projek bernilai RM6.62 juta; Rembau (71 projek bernilai RM6.41 juta) dan Jelebu (68 projek bernilai RM5.8 juta).
Seremban pula menerima 54 projek bernilai RM4.86 juta; Tampin (47 projek bernilai RM4.33 juta) dan Port Dickson (41 projek bernilai RM3.61 juta), manakala Rasah memperoleh 28 projek bernilai RM2.6 juta. Taburan ini menunjukkan program berkenaan tidak hanya tertumpu di kawasan bandar, sebaliknya memberikan penekanan besar kepada kawasan luar bandar dan separa bandar.
Dari sudut kategori penerima, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) menjadi penerima terbesar. Sebanyak 348 JPKK menerima geran bernilai RM34.12 juta, bersamaan hampir 80 peratus daripada jumlah keseluruhan peruntukan SejaTi MADANI di negeri ini.
Selain itu, sebanyak 43 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan FELDA menerima RM4.16 juta, manakala 38 persatuan penduduk mendapat RM3.71 juta. Program ini turut membabitkan empat komuniti Orang Asli, dua komuniti belia dan sebuah Majlis Pengurusan Komuniti Kampung.
Kekuatan, cabaran berbeza
Pembabitan pelbagai kategori komuniti ini penting kerana setiap kawasan mempunyai kekuatan, cabaran dan sumber ekonomi berbeza. Komuniti FELDA misalnya mempunyai potensi besar dalam pertanian dan pengeluaran makanan, manakala persatuan penduduk di kawasan bandar boleh mengembangkan projek perkhidmatan, kitar semula atau perusahaan kecil.
Dari segi sektor, sebahagian besar projek di Negeri Sembilan tertumpu kepada pelancongan dan hospitaliti serta pertanian dan makanan. Sebanyak 245 projek berkaitan pelancongan dan hospitaliti diluluskan, manakala 163 projek membabitkan sektor pertanian dan makanan.
Secara keseluruhan, kedua-dua sektor ini merangkumi hampir 88 peratus daripada 466 projek diluluskan. Pilihan sektor berkenaan amat bertepatan dengan kekuatan Negeri Sembilan yang mempunyai kawasan pertanian, perkampungan tradisional, produk makanan tempatan, adat dan warisan serta destinasi pelancongan alam.
Program ini turut menyokong 42 projek aktiviti hijau dan kitar semula, 12 projek jahitan dan kraf tangan, dua projek herba dan kesihatan serta dua projek perkhidmatan. Kepelbagaian ini membolehkan komuniti memilih projek berdasarkan kemahiran, sumber tempatan dan permintaan pasaran.
Lebih penting, manfaat SejaTi MADANI tidak hanya boleh dilihat melalui jumlah geran atau bilangan projek. Beberapa kisah kejayaan menunjukkan bahawa bantuan RM100,000 boleh diterjemahkan kepada pendapatan bulanan yang konsisten.
JPKK Kampung Sungai Dua di Tampin, misalnya, melaksanakan perkhidmatan sewa jentera jengkaut dan mekanisasi dengan anggaran pendapatan bersih sebanyak RM10,750 sebulan. Projek itu bukan sahaja menjana pendapatan, tetapi membantu petani dan penduduk mendapatkan perkhidmatan jentera pada jarak lebih dekat.
JPKK Sungai Talan di Rembau pula mengusahakan sektor jahitan dan kraf tangan dengan anggaran pendapatan bersih RM7,500 sebulan. Di Kampung Sawah Bukit Pelandok, Port Dickson, projek Desaku Indah Bumiku Hijau melalui aktiviti kitar semula dianggarkan menghasilkan pendapatan bersih RM6,400 sebulan.
Sementara itu, bengkel jahitan komuniti di Kampung Siliau, Rantau, mencatatkan anggaran pendapatan bersih sebanyak RM6,125 sebulan.
Pengerusi JPKK Kampung Siliau, Hasnan Khalid, yang dihubungi berkata program bengkel jahitan komuniti memberi peluang pekerjaan kepada golongan memerlukan, khususnya wanita daripada kampung itu.
"Alhamdulillah, ini satu program yang amat baik untuk membantu ibu tunggal, anak sekolah daripada keluarga asnaf dan penduduk kampung menjana ekonomi.
"Seramai 10 pengambil upah terbabit dalam kerja jahitan, terdiri daripada orang kurang upaya, ibu tunggal, suri rumah dan warga emas. Kesemuanya daripada golongan wanita dan penduduk asal Kampung Siliau.
"Pada masa sama, kami turut menyalurkan sumbangan dalam bentuk wang, barangan dapur dan lampin pakai buang kepada anak yatim, orang kurang upaya (OKU), warga emas serta penduduk yang terlantar dan uzur.
"Selain itu, sumbangan kewangan turut diberikan kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan murid kampung yang menduduki Ujian Penilaian Kelas KAFA bagi memberi semangat kepada mereka meneruskan pelajaran," katanya.
Secara keseluruhannya, empat projek contoh ini dianggarkan menghasilkan RM30,775 sebulan atau RM369,300 setahun. Angka ini membuktikan bahawa geran komuniti yang diuruskan dengan baik mampu membuka peluang pekerjaan, meningkatkan kemahiran penduduk dan mengurangkan kebergantungan kepada bantuan tunai semata-mata.
Kesimpulannya, pelaksanaan SejaTi MADANI di Negeri Sembilan memperlihatkan satu pendekatan pembangunan yang lebih dekat dengan rakyat. Kerajaan menyediakan pemangkin, tetapi komuniti sendiri menentukan bentuk kegiatan ekonomi yang sesuai untuk kawasan mereka.
Penulis adalah Dekan Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi, Universiti Utara Malaysia (UUM)
























