PEMBUKAAN rasmi Laluan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Shah Alam menandakan satu lagi detik penting dalam landskap pengangkutan awam negara.
Selepas bertahun-tahun melalui proses perancangan dan pembinaan, laluan baharu ini akhirnya menawarkan pilihan perjalanan lebih cekap kepada ratusan ribu penduduk di sepanjang koridor Bandar Utama, Shah Alam hingga Johan Setia.
Lebih penting, ia membuktikan komitmen kerajaan memperkukuh sistem rel bandar sebagai tulang belakang mobiliti di Lembah Klang.
Namun, kejayaan sebenar projek bernilai berbilion ringgit ini tidak seharusnya diukur berdasarkan panjang landasan, jumlah stesen atau kecanggihan tren semata-mata.
Ukuran lebih penting ialah sejauh mana rakyat benar-benar meninggalkan kereta sendiri untuk beralih kepada pengangkutan awam.
Tanpa perubahan tingkah laku pengguna, pelaburan besar infrastruktur pengangkutan awam berisiko gagal mencapai pulangan sosial, ekonomi dan alam sekitar diharapkan.
Atas sebab itu, kerajaan wajar mempertimbangkan satu pendekatan baharu melalui pelepasan cukai bagi perbelanjaan pengangkutan awam.
Langkah ini bukan sekadar memberi sedikit penjimatan kepada pembayar cukai, malah menjadi isyarat jelas negara menghargai rakyat memilih mod perjalanan lebih lestari dan mesra alam.
Ketika ini, Malaysia memiliki rangkaian pengangkutan awam semakin meluas melalui Transit Aliran Massa (MRT,) LRT, monorel, komuter dan bas perantara.
Namun, kadar penggunaan pengangkutan awam masih belum setanding dengan negara maju. Ramai pengguna masih bergantung kepada kenderaan persendirian kerana faktor kebiasaan, fleksibiliti dan persepsi kereta lebih praktikal.
Di sinilah dasar fiskal boleh memainkan peranan penting. Jika perbelanjaan bagi pas perjalanan bulanan, tambang tren, bas atau sistem pembayaran bersepadu diberi pelepasan cukai sehingga had tertentu, pengguna akan menikmati penjimatan tambahan setiap tahun.
Walaupun jumlahnya mungkin sederhana, insentif ini mampu mempengaruhi keputusan harian rakyat memilih mod pengangkutan.
Kurangkan risiko penyalahgunaan
Lebih menarik, cadangan ini tidak memerlukan mekanisme rumit. Dengan penggunaan pembayaran tanpa tunai dan transaksi digital, rekod perjalanan boleh disahkan secara automatik bagi tujuan tuntutan cukai. Pendekatan ini bukan sahaja telus, malah mengurangkan risiko penyalahgunaan.
Manfaatnya pula jauh melangkaui aspek percukaian. Apabila lebih ramai memilih pengangkutan awam, kesesakan lalu lintas dapat dikurangkan, pelepasan karbon menurun dan penggunaan bahan api menjadi lebih cekap.
Masa sebelum ini terbuang dalam kesesakan dapat dimanfaatkan untuk aktiviti lebih produktif. Dalam jangka panjang, kerajaan berpotensi mengurangkan kos pembinaan jalan baharu dan penyelenggaraan rangkaian jalan raya semakin meningkat.
Bagaimanapun, pelepasan cukai bukan penyelesaian tunggal. Ia perlu disokong dengan penambahbaikan berterusan terhadap kualiti perkhidmatan.
Kekerapan tren konsisten, jadual boleh dipercayai, keselamatan, kebersihan serta integrasi antara mod pengangkutan perlu menjadi keutamaan.
Pada masa sama, isu batuan pertama dan terakhir mesti diselesaikan melalui penyediaan bas pengantara sokongan dan cekap, laluan pejalan kaki selamat, laluan basikal dan kemudahan 'park-and-ride' mencukupi.
Selain itu, Malaysia perlu mengubah budaya mobiliti masyarakat. Penggunaan pengangkutan awam tidak seharusnya dilihat sebagai pilihan kerana tidak mampu memiliki kereta, sebaliknya sebagai pilihan bijak, moden dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar.
Perubahan persepsi ini memerlukan kempen berterusan serta sokongan dasar konsisten daripada kerajaan.
Beberapa negara maju sudah lama menggunakan insentif fiskal bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.
Pengalaman mereka menunjukkan perubahan tingkah laku pengguna lebih mudah dicapai apabila pembangunan infrastruktur disokong dengan dasar memberi ganjaran kepada rakyat.
Pelancaran LRT3 Shah Alam membuka lembaran baharu kepada sistem pengangkutan negara. Kini tiba masanya Malaysia melangkah setapak lagi ke hadapan.
Jika kerajaan sanggup melabur berbilion ringgit membina rangkaian rel moden, maka memberi sedikit pelepasan cukai kepada pengguna yang memanfaatkannya adalah satu pelaburan jauh lebih kecil tetapi berpotensi menghasilkan pulangan besar.
Infrastruktur menyediakan pilihan tetapi insentif mampu mengubah tingkah laku. Gabungan kedua-duanya akan menjadi asas kepada pembentukan sistem pengangkutan awam benar-benar mampan dan menjadi pilihan utama rakyat.
Penulis ialah Pensyarah Kanan Jabatan Teknologi dan Pengajian Rantaian Bekalan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM)
























