PADA 16 Jun lalu, kerajaan melancarkan tribunal khusus untuk mendengar kes buli membabitkan kanak-kanak.
Tribunal bagi antibuli ini ditubuhkan mengikut Akta Antibuli 2026 (Akta 876). Tribunal ini menjawab persoalan sudah lama wujud, iaitu apabila seorang kanak-kanak dibuli dan pihak sekolah tidak mengambil tindakan, ke mana dia hendak mengadu.
Contohnya, ibu bapa mengadu kepada sekolah, mesyuarat diadakan dan sekolah berjanji membuat tindakan. Namun, tiada tindakan susulan berlaku atau memuaskan hati pihak pengadu.
Anak berkenaan mungkin mengalami kecederaan fizikal atau gangguan emosi. Dia mungkin takut atau kehilangan minat untuk bersekolah dan menjadi pendiam. Keluarga seperti ini sering terperangkap. Jika mereka membawa kes buli itu ke mahkamah, ia memerlukan kos tinggi dan proses menakutkan bagi kanak-kanak.
Pada masa sama, berdiam diri pula bukan pilihan. Tribunal bagi antibuli diwujudkan untuk mengisi kekosongan ini.
Apa keistimewaan tribunal ini. Pertama, ia menyediakan definisi buli jelas dan menyeluruh. Buli bukan hanya keganasan fizikal, tetapi meliputi penghinaan lisan, pengasingan sosial, merosakkan reputasi, serta memalukan atau mendiskriminasi orang lain disebabkan jantina, bangsa, agama atau kekurangan upaya.
Buli siber juga diiktiraf, termasuk penghinaan di media sosial, mesej ugutan dan gambar memalukan. Semua bentuk ini kini boleh dibawa ke tribunal.
Kedua, tribunal ini direka khusus untuk kanak-kanak supaya mereka tidak berasa takut. Prosiding dijalankan secara tertutup dan identiti kanak-kanak dilindungi sepenuhnya.
Pendedahan identiti melalui media boleh didenda sehingga RM50,000. Pendengaran boleh dilakukan secara dalam talian. Kanak-kanak boleh ditemani ibu bapa, dibantu ahli psikologi atau orang tengah dan memberi keterangan mengikut kesesuaian usia dan keadaan.
Tribunal juga diwajibkan mengutamakan pengantaraan untuk mencari penyelesaian bersama kerana matlamat utama adalah pemulihan dan perlindungan, bukan sekadar hukuman.
Ketiga, tribunal ini mempunyai kuasa jelas. Selepas mendengar aduan, tribunal boleh memerintahkan pembuli memohon maaf, menghapuskan kandungan buli di media sosial, membayar balik perbelanjaan keluarga mangsa atau membayar pampasan atau ganti rugi sehingga RM230,000.
Tribunal juga boleh mengarahkan ibu bapa menghadiri sesi kaunseling bersama anak kerana banyak masalah buli bermula sebelum ke sekolah. Keputusan tribunal adalah muktamad dan dikuatkuasakan seperti perintah mahkamah. Sesiapa ingkar boleh dipenjarakan sehingga dua tahun.
Namun, perlu ditegaskan tribunal ini langkah terakhir, bukan pertama. Akta Antibuli ini meletakkan tanggungjawab utama kepada institusi pendidikan, termasuk institusi di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.
Setiap sekolah diwajibkan menubuhkan jawatankuasa pencegahan dan pengurusan kes buli, menyediakan saluran aduan mesra kanak-kanak serta menawarkan khidmat kaunseling.
Setiap ibu bapa perlu memahami perkara ini. Sebelum membawa kes ke tribunal, aduan mesti dibuat kepada pihak sekolah terlebih dahulu. Jika sekolah tidak bertindak atau gagal menguruskan aduan sewajarnya, barulah tribunal boleh diakses. Jika buli berlaku di luar kawalan sekolah atau membabitkan kanak-kanak tidak bersekolah, ibu bapa boleh terus mengadu kepada tribunal.
Perlu juga diingat, membuat aduan ke tribunal tidak menghalang sesiapa daripada membuat laporan polis jika perbuatan itu jenayah. Akta dan tribunal hanyalah alat. Perubahan sebenar bergantung kepada cara kita mendidik anak untuk saling menghormati, keberanian murid menegur rakan membuli dan kepekaan ibu bapa dan guru terhadap perubahan tingkah laku kanak-kanak. Undang-undang boleh memerintahkan permohonan maaf, tetapi tidak dapat mengajar empati. Tanggungjawab ini terletak di bahu kita semua.
Dr Mohd Al Adib Samuri,
Pesuruhjaya Kanak-Kanak SUHAKAM
























