INSTITUSI pendidikan tinggi awam (IPTA) di Malaysia semakin kerap menjadi sasaran pertikaian berbaur politik. Ada kalanya isu dibangkitkan berasas fakta dan wajar disiasat.
Namun, tidak kurang juga tuduhan dibuat secara umum, sensasi dan tanpa bukti mencukupi. Dakwaan kemasukan pelajar melalui 'pintu belakang', kononnya wujud layanan istimewa kepada kumpulan tertentu atau tuduhan universiti menerima pelajar asing secara berlebihan, sering dijadikan polemik sebelum fakta sebenar sempat dijelaskan.
Dalam keadaan seperti ini, persoalan lebih besar ialah mengapa suara ahli akademik begitu jarang kedengaran. Universiti bukan sekadar organisasi kerajaan, ia institusi ilmu dibina atas asas integriti, ketelusan dan pencarian kebenaran.
Apabila institusi ini dipertikaikan secara terbuka, yang dipersoalkan bukan sahaja pentadbirannya, malah kredibiliti pensyarah, penyelidik, pelajar dan graduannya. Jika tuduhan tidak berasas dibiarkan berlegar tanpa penjelasan, lama-kelamaan persepsi awam mengatasi fakta.
Malangnya, budaya membisu sering menjadi pilihan. Ramai ahli akademik memilih tidak mengulas kerana bimbang disalah tafsir sebagai mempertahankan pihak tertentu atau terbabit dalam polemik politik.
Sikap berhati-hati ini boleh difahami. Namun, ada perbezaan yang jelas antara mempertahankan sesuatu parti politik dengan mempertahankan integriti institusi akademik. Ahli akademik tidak perlu menjadi jurucakap kepada mana-mana pentadbiran universiti.
Sebaliknya, mereka perlu menjadi jurucakap kepada fakta, proses dan prinsip akademik. Sekiranya sesuatu tuduhan benar, ahli akademik wajar mendesak siasatan telus dan penambahbaikan.
Jika dakwaan itu tidak tepat atau mengelirukan, mereka mempunyai tanggungjawab moral untuk menjelaskan bagaimana sistem sebenar berfungsi.
Sebagai contoh, isu pengambilan pelajar antarabangsa sering dibincang tanpa memahami matlamat sebenar pengantarabangsaan pendidikan tinggi. Kehadiran pelajar asing bukan sekadar menjana pendapatan universiti, tetapi memperkukuh reputasi antarabangsa, memperluas jaringan penyelidikan, meningkatkan kepelbagaian budaya dalam bilik kuliah serta memperkayakan pengalaman pembelajaran semua pelajar.
Dipandu data, dasar bukan sentimen
Jika terdapat persoalan mengenai jumlah, kualiti atau mekanisme kemasukan mereka, perbahasan itu perlu dipandu data dan dasar, bukan bermain sentimen.
Begitu juga dakwaan berkaitan kemasukan pelajar melalui saluran tertentu. Sistem kemasukan ke IPTA membabitkan pelbagai laluan diwujudkan bagi memenuhi keperluan pendidikan negara, termasuk laluan matrikulasi, diploma, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), asasi, program khas dan kemasukan antarabangsa.
Mana-mana dakwaan mengenai penyelewengan perlu disokong dengan bukti dan disiasat melalui saluran sewajarnya. Menghukum keseluruhan institusi tanpa asas hanya menghakis keyakinan masyarakat terhadap pendidikan tinggi negara.
Lebih membimbangkan ialah kesan jangka panjang terhadap generasi muda. Apabila universiti sentiasa digambarkan sebagai institusi tidak berintegriti, pelajar akan mula mempersoalkan nilai ijazah sedang mereka usahakan.
Penyelidik muda pula mungkin hilang motivasi membina kerjaya akademik. Rakan kerjasama antarabangsa juga akan menilai reputasi universiti Malaysia berdasar naratif beredar di ruang awam.
Oleh itu, ahli akademik perlu lebih aktif mengisi ruang wacana awam. Mereka perlu menulis rencana, berkongsi penjelasan berasaskan bukti, menyertai forum, memberi penerangan kepada media dan menggunakan kepakaran masing-masing untuk membantu masyarakat memahami isu secara lebih objektif.
Keheningan golongan yang paling memahami sistem hanya membuka ruang kepada spekulasi dan maklumat yang tidak lengkap.
Mempertahankan universiti tidak bermaksud mempertahan setiap keputusan pentadbiran. Sebaliknya, ia bermaksud mempertahan budaya ilmu, proses adil dan komitmen terhadap kebenaran.
Pada era media sosial pantas menghukum sebelum menyiasat, ahli akademik tidak lagi boleh sekadar menjadi pemerhati. Mereka perlu menjadi suara membawa keseimbangan, konteks dan penjelasan. Jika bukan warga universiti sendiri mempertahankan maruah institusi ilmu, siapa lagi akan melakukannya.
Mohamad Syafiq Ya Shak,
Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Bahasa, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Perak
























