KUALA LUMPUR: Datuk Yusry Abdul Halim mengakui kehidupan sedikit berubah sejak isteri, Datin Lisa Surihani menunaikan ibadat haji apabila banyak rutin harian perlu diurus sendiri.
Yusry, 53, berkata ketiadaan isteri tercinta cukup dirasai, terutama daripada segi sokongan harian yang selama ini menjadi antara kekuatan utama dalam kehidupan dan kerjayanya.
Akuinya, dia kini memikul tanggungjawab lebih besar dalam menguruskan rutin keluarga termasuk hal berkaitan persekolahan anak-anak.
"Banyak perbezaan apabila Lisa tiada di sisi saya. Paling ketara adalah daripada segi sokongan. Contohnya, dia tidak dapat hadir ke majlis pelancaran lagu baharu saya, hari ini (Jumaat lalu).
"Sepanjang kami berkahwin, dia sentiasa ada bersama saya. Ketika menjalani penggambaran drama Dendam Seorang Mentua pun, dia sanggup datang ke lokasi untuk beri semangat.
"Buat masa ini, saya perlu menguruskan segala hal rumah tangga sendiri termasuk menghantar dan mengambil anak-anak di sekolah serta memeriksa kerja sekolah mereka," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu Jiwa dan Raga serta tayangan perdana episod 25 drama Dendam Seorang Mentua di sini, Jumaat lalu.
Pelantun lagu Jiwa dan Raga itu berkata, ketiadaan Lisa membuka matanya terhadap besarnya pengorbanan ibu dalam menguruskan rumah tangga.
"Selama ini. saya ambil mudah kerana dia yang menguruskan segala-galanya. Sekarang, apabila saya ambil alih tanggungjawab itu sepenuhnya, barulah saya sedar betapa banyaknya tugas yang perlu dipikul ibu.
"Sepanjang 14 tahun berkahwin, kami tidak pernah berenggang atau berjauhan dalam tempoh yang lama seperti ini. Namun, saya tidak boleh banyak mengeluh kerana dia berada di Tanah Suci untuk beribadat dan akan pulang tidak lama lagi.
"Saya juga selalu berpesan kepada anak-anak supaya tidak mengeluh jika rindu ibu mereka. Sebaliknya, bersyukur dan sentiasa mendoakan agar segala urusan dipermudahkan serta menganggap masa berlalu dengan cepat," katanya.
Ditanya mengenai persiapan menyambut kepulangan isterinya, Yusry enggan mengulas lanjut kerana tidak mahu kejutan yang dirancang terbongkar lebih awal.
Bagaimanapun, Yusry tidak menafikan sudah mempunyai perancangan istimewa untuk menyambut kepulangan aktres berkenaan.
"Lisa dijangka pulang pertengahan bulan ini. Soal persiapan, biarlah rahsia dahulu. Saya tidak mahu bercerita lebih lanjut, nanti dia baca," katanya berseloroh.
























