BH Online
Ringkasan Berita

'Wanita juga boleh berjaya dalam industri penerbangan, peluang dibuka seluasnya kepada mereka yang layak'

KUALA LUMPUR: Sedang berpantang selama 15 hari selepas melahirkan anak kedua pada 2016 bukan penghalang untuk Nur Ashikin Mohammad Arif, 41, menghadiri temuduga.
'Wanita juga boleh berjaya dalam industri penerbangan, peluang dibuka seluasnya kepada mereka yang layak'

Kru Kabin, Malaysia Airlines, Ryani Airin Putri (kanan) di KLIA Sepang. - Foto NSTP/ASYRAF HAMZAH

KUALA LUMPUR: Sedang berpantang selama 15 hari selepas melahirkan anak kedua pada 2016 bukan penghalang untuk Nur Ashikin Mohammad Arif, 41, menghadiri temuduga.

Kecekalan ditunjukkan itu kini terbukti apabila ibu tiga anak itu berjaya menjawat jawatan penting sebagai Ketua Kejuruteraan, syarikat penerbangan Firefly.

Nur Ashikin berkata, ketika berpantang anak kedua di rumah keluarganya di Kedah, dia mendapat panggilan temuduga bagi jawatan Nominated Post Holder (NPH) yang diluluskan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) di Subang Jaya.

Beliau berkata, walaupun ibunya banyak kali bertanyakan keputusannya itu, namun dia nekad menghadiri temuduga dan tidak menyangka rezeki berpihak kepadanya apabila lulus proses berkenaan.

"Saya memberitahu sedang berpantang, namun kerana saya calon yang layak, mereka tetapi menerima saya dan memberi peluang memulakan tugas selepas tamat cuti berpantang.

"Saya bersyukur, ini membuktikan walaupun saya wanita berpantang, tetapi dengan pengalaman dan pengetahuan yang ada ia bukan penghalang untuk berjaya.

BHmas1
Pengurus Kanan, Penyelenggaraan Pangkalan & Bengkel, MAB Engineering, Nurlin Mazlan (tengah) bersama rakan sekerja di MAB Engineering, KLIA. - Foto NSTP/ASYRAF HAMZAH

"Sebenarnya, wanita juga boleh berjaya dalam dalam industri penerbangan yang biasanya didominasi lelaki kerana peluang dibuka luas asalkan kita layak dan rajin berusaha," katanya.

Pemilik Ijazah Kejuruteraan Elektrik itu berkata, kariernya bermula sebagai jurutera di Jabatan Kerja Raya (JKR) di Lahad Datu, Sabah pada 2011 dan setiap hari perlu berdepan keadaan jalan kurang elok.

Selain itu, katanya, jika perlu ke mana-mana akan mengambil masa lama kerana jarak jauh, yang membuatkan dia terfikir berapa lama dia boleh bekerja di Lahad Datu.

"Kebetulan ketika itu saya mendapat tahu Firefly menawarkan pekerjaan jurutera dan saya memohon hingga berjaya bekerja di Firefly yang kini sudah 15 tahun.

"Seawal kerjaya, ada yang meragui keupayaan saya sehingga berkata mahu melihat sejauh mana saya mampu bertahan, tetapi kini saya berjaya buktikan berjaya sehingga ke tahap ini.

"Jadi kepada wanita, jangan takut kerana yang penting adalah pengetahuan dan keberanian," katanya yang bersyukur suaminya bertugas sebagai juruterbang sering memberikan sokongan.

Bagi Pengurus Kanan, Penyelenggaraan Pangkalan dan Bengkel, MAB Engineering Services, Nurlin Mazlan, 40, dia didedahkan dengan dunia penerbangan sejak kecil.

Ibu tiga anak itu berkata, bapanya adalah bekas jurutera pesawat, manakala ibunya pula pernah bertugas sebagai pengawal trafik udara.

"Bapa sering bawa ke tempat kerjanya, jadi secara tidak langsung saya berazam menjadi sepertinya untuk berada dalam bidang penerbangan ini.

"Syukur impian saya tercapai dan berada dalam bidang ini selama 20 tahun dengan kerjaya bermula sebagai jurutera pelatih selama lima tahun dengan Malaysia Airlines," katanya yang memberitahu abangnya juga berada dalam bidang sama dan kini bertugas di Kuwait.

Akuinya, dalam tempoh berkenaan banyak cabaran dilalui dengan cabaran yang membuatkan dia lebih matang dan yakin adalah apabila bertugas sebagai tenaga pengajar di MAB Engineering Services selama lapan tahun bermula 2015.

Katanya, di sana mentalnya diuji apabila perlu mengajar jurutera lebih berusia dan mempunyai lebih banyak pengalaman daripadanya.

"Bagaimanapun, saya berjaya mengharunginya dengan baik kerana sering menjalankan persiapan awal, selain berhati-hati kerana setiap orang ada pandangan masing-masing," katanya.

Justeru, beliau berharap wanita yang mahu menjadi jurutera supaya meneruskan usaha sehingga berjaya.

"Memang bidang penerbangan banyak didominasi lelaki, tetapi wanita boleh berjaya sehingga menjadi pemimpin," katanya.

BHmas2
Kru Kabin, Malaysia Airlines, Ryani Airin Putri (kanan) di KLIA Sepang. - Foto NSTP/ASYRAF HAMZAH

Sementara itu, kru kabin Malaysia Airlines, Ryani Airin Putri Wenas, 25, yang berasal dari Sulawesi, Indonesia bersyukur kerana berjaya merealisasikan impian ibunya yang mahu menjadi pramugari sebelum ini.

Katanya, ibunya, Henny Soagitono, 47, bercita-cita menjadi pramugari kerana kerjaya itu sangat menarik tetapi dihalang keras keluarga dengan alasan ia berisiko tinggi.

"Sejak kecil saya didedahkan dengan pekerjaan pramugari hingga saya berasa seronok dan mahu mengejar impian itu.

"Bagaimanapun, sejak bekerja selama setahun, saya akui pekerjaan ini tidak semudah disangka kerana persekitaran yang pelbagai termasuk melayan kerenah penumpang dan kru lain.

"Namun, saya bersyukur kerana sejak latihan hingga sekarang, saya selesa bekerja dengan Malaysia Airlines yang menerima saya seperti keluarga dan akan turut berusaha membantu syarikat ini mendapatkan semula taraf World's Best Cabin Crew pada Skytrax World Airline Awards tahun ini," katanya yang sebelum ini menjadi guru bahasa Inggeris di sekolah antarabangsa di Indonesia.

Video Terkini

Berita Berkaitan