BH Online
Ringkasan Berita

Kenali tanda-tanda kanak-kanak menjadi mangsa dera

PADA masa kini, kes penderaan semakin berleluasa. Hal ini dapat dilihat melalui beberapa kes yang timbul di pelbagai platform media sosial.
Kenali tanda-tanda kanak-kanak menjadi mangsa dera

Kanak-kanak yang menjadi mangsa penderaan lazimnya menunjukkan perubahan tingkah laku dan emosi. - Foto hiasan

PADA masa kini, kes penderaan semakin berleluasa. Hal ini dapat dilihat melalui beberapa kes yang timbul di pelbagai platform media sosial.

Kes penderaan boleh berlaku kepada mana-mana golongan, terutamanya golongan kanak-kanak.

Kanak-kanak adalah golongan yang perlu dilindungi dan disayangi. Namun, masih terdapat kes penderaan kanak-kanak yang berlaku dalam masyarakat sama ada secara fizikal, pengabaian, emosi mahupun seksual.

Oleh itu, setiap individu perlu mengetahui tanda-tanda awal penderaan supaya tindakan segera dapat diambil untuk melindungi mangsa.

Kanak-kanak yang sering menjadi mangsa penderaan lazimnya mempunyai tanda-tanda kecederaan fizikal yang mencurigakan di tubuh badan mereka.

Tanda-tanda yang dapat dilihat pada kanak-kanak ialah lebam, luka, kesan rotan atau kesan kecederaan lain pada anggota badan tertentu.

Kadangkala mereka sering memberikan jawapan berbeza apabila ditanya mengenai kecederaan itu kerana berasa takut atau diugut oleh individu yang mendera mereka.

Ada juga kanak-kanak yang cuba menyembunyikan kesan kecederaan berkenaan daripada orang ramai.

Keadaan ini tidak boleh dipandang ringan kerana mungkin menunjukkan, mereka sedang mengalami penderaan fizikal sama ada di rumah, di pusat jagaan atau di tempat lain.

Selain itu, perubahan emosi dan tingkah laku juga petanda penting. Kanak-kanak yang ceria tiba-tiba menjadi pendiam, mudah menangis atau takut perlu diberi perhatian.

Perubahan ini perlu diberikan perhatian dengan bertanyakan keadaan mereka.

Kanak-kanak yang menjadi mangsa penderaan ini juga mungkin akan berasa takut apabila berhampiran dengan individu tertentu, terutamanya individu yang mendera mereka.

Perubahan sikap mereka yang ketara ini berlaku kerana mereka mengalami tekanan dan trauma akibat penderaan dialami.

Prestasi pelajaran yang merosot juga boleh menjadi salah satu tanda, kanak-kanak terbabit sedang mengalami penderaan. Kanak-kanak yang menghadapi tekanan emosi dan trauma biasanya sukar memberi tumpuan ketika berada di dalam kelas.

Mereka mungkin sering kelihatan termenung, letih dan tidak berminat untuk menyertai aktiviti pembelajaran di sekolah.

Ada juga kanak-kanak yang menjadi pendiam dan kurang bergaul dengan rakan-rakan kerana terlalu memikirkan masalah yang dihadapi.

Keadaan ini boleh menjejaskan perkembangan emosi dan pendidikan mereka dalam jangka masa panjang. Oleh itu, guru perlu peka terhadap perubahan sikap dan prestasi pelajar supaya bantuan awal dapat diberikan kepada mereka dengan segera.

Selain perubahan emosi dan sikap, kurang penjagaan diri turut menjadi salah satu tanda kanak-kanak mengalami penderaan dan pengabaian.

Kanak-kanak yang diabaikan mungkin kelihatan kotor dan comot, lapar, berpakaian tidak kemas dan tidak mendapat penjagaan yang sempurna.

Situasi ini menunjukkan mereka tidak menerima perhatian dan kasih sayang yang sewajarnya daripada ibu bapa atau penjaga mereka.

Isu penderaan bukanlah perkara yang perlu dipandang remeh kerana penderaan bukan sahaja memberi kesan kepada fizikal malah memberikan kesan kepada mental mangsa juga.

Oleh itu, semua pihak perlu bekerjasama dalam melindungi kanak-kanak daripada penderaan.

Ibu bapa, guru dan masyarakat harus peka terhadap tanda-tanda

penderaan supaya tindakan segera dapat diambil.

Kanak-kanak berhak membesar dalam persekitaran yang selamat, sihat dan penuh kasih sayang demi masa depan yang lebih baik.

Video Terkini

Berita Berkaitan